Prestasi ekonomi meningkat jadi ujian isi poket rakyat

Prestasi ekonomi meningkat jadi ujian isi poket rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANGGARAN Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) awalan bagi suku tahun keempat 2025 oleh Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) menjangkakan ekonomi Malaysia bertumbuh pada kadar 5.7 peratus.

Indeks FBM KLCI pula menembusi 1,700 mata buat kali pertama sejak 2019 sementara ringgit mengukuh di bawah paras RM4 ke atas dolar Amerika Syarikat (AS).

Momentum keyakinan serta sentimen positif terhadap ekonomi Malaysia ini sebenarnya sudah bermula sejak kerangka Ekonomi Madani dilancarkan pada Julai 2023 lagi.

Sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada 24 November 2022, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan langkah untuk menstabilkan lanskap politik negara yang tidak menentu pada ketika itu.

Dan hanya beberapa bulan menjadi Perdana Menteri, pada 19 Januari 2023, visi Malaysia Madani dilancarkan dan beberapa bulan selepas itu, kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat pula diluncurkan.

Sejak daripada itu juga, pelbagai dokumen-dokumen perancangan ekonomi yang lebih spesifik diperkenalkan di bawah kerangka Ekonomi Madani untuk memastikan aspirasi dan sasaran, serta naratifnya dapat diterjemah menjadi realiti.

Dokumen-dokumen ini adalah seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), Dasar TVET Negara 2030, Pelan Induk dan Pelan Tindakan Pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta rancangan pembangunan lima tahun negara, iaitu Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), 2026-2030. Ini diikuti dengan Belanjawan tahunan yang dibentangkan di Parlimen setiap sejak 2023.

Memasuki 2026, jelas dasar ekonomi yang dibawa sudahpun berada dalam fasa yang berbentuk ofensif daripada yang berbentuk defensif semasa permulaan pentadbiran beliau.

Tahun lalu memperlihatkan bibit-bibit awal prestasi ekonomi yang semakin utuh dan tuntas manifestasi daripada kerangka Ekonomi Madani itu sendiri, yang mempunyai pelbagai strategi, inisiatif dan juga pelbagai sasaran, terutamanya tujuh penanda aras yang perlu dicapai dalam masa 10 tahun bermula 2023.

Walaupun berdepan dengan ketidaktentuan persekitaran global, terutamanya daripada pengenaan tarif timbal balik daripada AS, namun ekonomi Malaysia berjaya mengharungi cabaran ini dengan baik. Kadar pengangguran pada November 2025 mencatatkan penurunan kepada 2.9 peratus, iaitu paras yang terendah sejak Disember 2014.

Melalui penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023, kerajaan berjaya mengurangkan kadar defisit dengan konsisten, sehingga mendapat taraf penarafan yang baik daripada agensi-agensi penarafan antarabangsa, seperti S&P Global dan juga Moody’s.

Pada tahun ini, sasaran jangkaan kadar defisit pada 3.5 peratus dijangka dapat dicapai, berbanding dengan kadar 6 peratus semasa era Covid-19, manakala nisbah hutang negara kepada KDNK di bawah 60 peratus.

Nilai inflasi pula berada pada tahap yang stabil, iaitu 1.4 peratus pada November 2025. Kadar inflasi yang rendah ini membolehkan pihak Bank Negara Malaysia (BNM) mempunyai ruang yang mencukupi untuk mengolah dasar monetari negara di masa hadapan jika ada risiko yang memerlukan akibat daripada ketidaktentuan dasar monetari AS di masa akan datang.

Peningkatan 11 anak tangga dalam kedudukan Indeks Daya Saing Global jelas menunjukkan kekuatan yang substantif dalam ekonomi Malaysia. Kesemua ini, ditambah pula dengan keadaan politik negara yang stabil, visi ekonomi dan perancangan serta kejelasan hala tuju pembangunan menyebabkan ringgit menjadi mata wang terbaik di Asia pada 2025.

Ini juga menjadi pendorong kepada peningkatan dalam prestasi Bursa Malaysia pada ketika ini. Kita juga melihat bagaimana, pada sembilan bulan pertama tahun lepas, nilai pelaburan negara direkodkan antara yang tertinggi dalam sejarah negara, iaitu direkodkan pada RM285.2 bilion.

Nilai perdagangan pula pada 2025 direkodkan pada nilai RM3 trilion, iaitu tertinggi dalam sejarah negara. Dalam aspek pelaburan, kadar pelaksanaan, ataupun kadar realisasi yang tinggi, iaitu melebihi 80 peratus meningkatkan lagi keyakinan pelabur kepada ekonomi negara dan juga pasaran saham Malaysia.

Di bawah Belanjawan 2026, pelaksanaan tahun Melawat Malaysia 2026 juga menjadi feel good factor kepada pelabur dan memberikan penilaian yang optimistik kepada ekonomi negara. Program GEAR-uP, yang dijangka akan menyuntik RM120 bilion ke dalam pelaburan domestik sehingga 2028, juga memberikan sentimen positif kepada pelabur domestik mahupun antarabangsa.

 

 

 

PRESTASI EKONOMI UNTUK RAKYAT

Tidak dinafikan juga, apabila Anwar semasa menyampaikan ucapan Amanat Tahun Baharu 2026, menjelaskan hala tuju ekonomi negara, terutamanya dalam pengumuman-pengumuman penting yang berkait dengan reformasi kerajaan, tatakelolala, institusi dan juga reformasi menyeluruh dalam sistem perlindungan sosial negara.

Begitu juga penekanan beliau dalam usaha untuk memastikan seluruh rakyat Malaysia dapat menikmati kesan daripada prestasi ekonomi yang baik, seperti peningkatan dalam tingkat upah dan juga penciptaan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Tidak dinafikan 2026 merupakan tahun yang lebih mencabar. Selain ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global yang berterusan, pastinya cabaran utama ekonomi negara pada tahun ini berkait dengan bagaimana untuk menterjemahkan prestasi ekonomi yang baik kepada peningkatan dalam poket rakyat dan kesejahteraan hidup rakyat secara keseluruhannya.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin ialah Felo Bersekutu Kanan Institut Dasar Ekonomi Dan Kewangan (ECOFI), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×