SEPANG: Bekas juara dunia MotoGP, Francesco Bagnaia memberi petanda awal kebangkitannya apabila menunjukkan prestasi meyakinkan pada hari kedua ujian pra-musim MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.
Pelumba Ducati Lenovo itu percaya masalah yang menjejaskannya sepanjang musim 2025 sudah berakhir selepas memperoleh semula keyakinan terutama ketika membrek dan memasuki selekoh dengan jentera baharu, GP26.
Musim 2025 menyaksikan Bagnaia berdepan kempen yang mengecewakan apabila isu rasa tidak konsisten pada bahagian hadapan GP25 menyebabkan prestasinya merosot.
Dia hanya mencatat dua kemenangan dan menamatkan musim di tempat kelima keseluruhan, jauh berbeza berbanding 11 kemenangan yang diraih pada musim 2024.
“Ia hari yang positif, sama seperti semalam. Kami dapat melakukan satu lagi ujian terhadap komponen baharu yang kami terima dan saya menemui satu lagi kelebihan.
“Kami sepatutnya menamatkan ujian ini pada sebelah petang, tetapi malangnya keadaan tidak sesuai. Walau apa pun, dapat menunggang dengan agresif sudah menjadi satu perkara positif berbanding tahun lalu,” katanya.
Dalam sesi yang terjejas akibat cuaca hujan itu, Bagnaia menamatkan hari kedua ujian di kedudukan kelapan keseluruhan.
Dia turut mengakui fokus utamanya adalah mendapatkan semula rasa keyakinan ketika membrek dan memasuki selekoh, yang menurutnya berjaya dicapai seawal permulaan ujian. – AGENSI/UTUSAN










