Mengapa perang terbuka AS–Iran ditangguhkan seketika?

Mengapa perang terbuka AS–Iran ditangguhkan seketika?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ASIA Barat kini berada dalam fasa paling bahaya sejak beberapa dekad lalu apabila Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, Israel, berhadapan secara langsung dengan Iran pada tahap kesiapsiagaan tinggi.

Pergerakan armada AS ke rantau itu, penggantungan penerbangan antarabangsa ke beberapa destinasi Asia Barat serta retorik keras dari Washington dan Tehran mencetuskan jangkaan yang perang terbuka boleh tercetus pada bila-bila masa.

Namun buat masa ini, tempo eskalasi tersebut kelihatan mereda.

Perlu ditegaskan keadaan ini bukan bermakna potensi perang sudah lenyap. Sebaliknya, lebih tepat difahami sebagai de-eskalasi sementara berasaskan pengiraan kos strategik.

Washington terus mengulangi tuntutan lama terhadap Tehran, pengayaan uranium, program peluru berpandu dan jaringan sekutu serantau, sementara Iran mengekalkan pendirian tidak akan berunding di bawah tekanan ketenteraan.

Yang berubah ialah intensiti diplomasi. Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, mesej disalurkan melalui Turkiye, Mesir, Oman dan Iraq bagi mengelakkan krisis meningkat.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dan utusan AS Steve Witkoff berhubung secara langsung, manakala Perdana Menteri Qatar melawat Tehran sebagai sebahagian usaha meredakan ketegangan.

Iran memberi isyarat kesediaan menggantung program nuklear serta terbuka kepada cadangan konsortium tenaga nuklear serantau, termasuk kemungkinan menghantar uranium diperkaya ke Russia seperti di bawah perjanjian 2015.

Momentum diplomatik ini wujud seiring kebimbangan kolektif negara rantau bahawa campur tangan ketenteraan AS boleh mencetuskan kekacauan rentas sempadan.

Dalam masa sama, Presiden AS, Donald Trump memberi isyarat kesediaan berunding, manakala Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pula memberi amaran perang tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Negara-negara Teluk secara terbuka menolak penggunaan ruang udara mereka untuk serangan ke atas Iran. Namun faktor penentu tetap masih bergantung realiti ketenteraan di lapangan.

Walaupun AS mengerahkan armada besar yang diketuai USS Abraham Lincoln, namun Pentagon pula memperkukuh payung pertahanan udara bagi melindungi Israel, sekutu Arab dan aset-aset AS sekiranya Iran bertindak balas.

 

SAMA ada Iran atau Amerika Syarikat (AS) kini menahan diri bukan kerana saling percaya tetapi kerana kos peperangan terlalu tinggi dan risiko tindak balas yang tidak dapat dikawal. -IMEJ JANAAN AI

 

 

KEKANGAN DUIT

Pengajaran daripada episod perang Israel-Iran menunjukkan walaupun pertahanan udara berjaya memintas sebahagian besar serangan Iran, namun penembusan tetap berlaku. Ini membuktikan pertahanan udara tidak pernah sempurna dan stok peluru pemintas terhad serta mahal.

Untuk melancarkan serangan ‘penamat’, Washington perlu bersedia menghadapi tindak balas seimbang Iran yang memanfaatkan misil jarak dekat dan sederhana, pengaktifan proksi serantau, serta risiko gangguan ke atas operasi di Selat Hormuz. Ini menuntut kesiapsiagaan sistem pertahanan di banyak negara secara serentak yang memerlukan komitmen sumber intensif.

Di sinilah relevannya konsep Keseimbangan Kegerunan, kunci utama mengapa perang besar-besaran masih belum tercetus walaupun provokasi fizikal sudah berlaku pada minggu pertama Februari 2026.

Keseimbangan ini bukan lagi dalam aspek simetri persenjataan nuklear seperti era Perang Dingin tetapi asimetri dalam konteks di mana Iran gerun terhadap keupayaan pemusnah armada AS yang boleh melumpuhkan infrastruktur kritikal negaranya dalam masa singkat manakala AS pula berkira terhadap kos ‘kemenangan’ yang terlalu mahal.
Dengan satu insiden sahaja, contohnya jika dron atau peluru berpandu Iran berjaya menenggelamkan kapal AS, boleh menjadi bencana politik yang mampu menggoncangkan pentadbiran Trump.

Lebih penting, Iran mengekalkan keupayaan ‘balasan kedua’ versi moden melalui kewujudan rangkaian proksi, potensi penutupan Selat Hormuz dan serangan dari pelbagai medan di Yaman, Iraq dan Lebanon.

Ketakutan terhadap balasan tidak menentu mendorong Washington menahan daripada meneruskan operasi pengeboman menyeluruh secara segera, sebaliknya mengaktifkan diplomasi sebagai alat utama.

Walaupun retorik Trump kelihatan agresif, namun tindakannya di lapangan menunjukkan logik pencegahan sedang berfungsi. Kita menyaksikan serangan fizikal dan perundingan berlaku serentak.

Laporan akhbar sebelum ini menunjukkan AS menembak jatuh dron Iran, namun pada masa sama bersedia bertemu pegawai Iran melalui saluran Oman.

Kedua-dua pihak sedang ‘menguji had’ masing-masing tanpa mahu melintasi garis merah yang membawa kepada konfrontasi terbuka.

Atas sebab itu, apa yang berlaku sekarang bukan kemenangan diplomasi tetapi pelarasan taktikal berasaskan kos dan risiko oleh kedua-dua pihak, Washington dan Tehran. Justeru, tindakan menangguhkan serangan ketika ini lebih tepat digambarkan sebagai keamanan yang lahir daripada ketakutan, bukan menunjukkan tamatnya konflik.

Umumnya boleh difahami, dimensi Israel dalam isu ini menambah lagi kerumitan apabila Tel Aviv bimbang rundingan AS–Iran akan mengehadkan kebebasan bertindak mereka.

Pada masa sama, penyusunan semula pakatan berlaku di mana Arab Saudi semakin pragmatik dalam hubungannya dengan Iran dan Turkiye, manakala Israel memperkukuh jaringan Mediterranean Timur bersama Greek dan Cyprus, dengan sokongan AS.

Jadi, implikasi global pertembungan ini besar. Konflik terbuka hampir pasti mencetuskan krisis tenaga, mengganggu rantaian bekalan dan menggoncang pasaran kewangan.

Bagi Malaysia sebagai ekonomi terbuka, kesannya akan dirasai melalui harga minyak dan gas serta kos perdagangan. Hakikatnya, ketegangan ini bukan sekadar pertarungan ketenteraan tetapi cerminan dunia yang semakin digerakkan oleh paksaan kuasa, bukan lagi diplomasi.

Keadaan ini menuntut kebijaksanaan strategik, kekal berprinsip menjunjung undang-undang antarabangsa, menolak tindakan unilateral dan menyokong dialog melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sambil bersiap siaga menghadapi kejutan ekonomi.

Kerana dalam dunia yang sarat senjata dan ego geopolitik, keberanian sebenar bukanlah melancarkan perang tetapi mencegahnya.

 

PROFESOR Madya Dr. Bakri Mat ialah Felo Penyelidik, Institut Asia bagi Hal Ehwal dan Diplomasi Antarabangsa (AIIAD), Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (UUM-COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN