PETALING JAYA: Kejayaan meraih dua gol awal pada 20 minit pertama membolehkan Kuala Lumpur (KL) City lebih tenang mengawal tempo permainan ketika membelasah DPMM FC 4-0 dalam aksi Liga Super Malaysia di laman sendiri, kelmarin.
Dua jaringan awal itu nyata mematahkan semangat pelawat dan memberi ruang buat KL City mengawal rentak permainan dengan lebih tersusun serta berdisiplin sehingga wisel penamat.
Pengendalinya, Risto Vidakovic mengakui gol awal menjadi titik perubahan yang memudahkan anak buahnya menguasai perlawanan meskipun beliau tidak menganggap ia persembahan terbaik pasukan.
“Secara taktikal, ini bukan permainan terbaik kami tetapi ia sudah memadai untuk menang. Itu yang paling penting.
“Dua gol awal memberi kelebihan besar. Pemain menjadi lebih tenang, mungkin terlalu selesa, tetapi saya mahu mereka terus menekan dan tidak berhenti. Dalam babak kedua kami tambah dua lagi gol dan itu menunjukkan karakter pasukan,” katanya.
Terdahulu, Safawi Rasid mencuri tumpuan apabila meledak dua gol pada minit kesembilan dan ke-18 untuk meletakkan tuan rumah selesa di hadapan.
Selepas rehat, Paulo Josue dan Victor Ruiz menambah derita pelawat bagi melengkapkan kemenangan bergaya itu.
Kemenangan tersebut melonjakkan KL City ke tangga ketiga liga, namun Vidakovic kekal berpijak di bumi nyata dan enggan terlalu memikirkan kedudukan semasa.
“Jurang mata sangat rapat. Hari ini kita di atas, esok mungkin berubah. Kami hanya fokus pada perlawanan seterusnya dan pastikan persaingan berjalan adil tanpa sebarang isu,” jelasnya. – UTUSAN










