KUALA LUMPUR: Juara dunia MotoGP 2024, Jorge Martin membuat penampilan sulungnya bersama pasukan Aprilia bagi saingan 2026 pada pelancaran rasmi musim ini setelah dia terlepas sesi ujian pra-musim akibat kecederaan.
Pelumba Aprilia itu menghadapi musim pertama yang sukar bersama pasukan Itali itu pada tahun lalu, hanya mampu bertanding dalam tujuh pusingan susulan beberapa kecederaan serius yang dialami.
Menjelang ujian pra-musim pertama di Sepang, Aprilia mengumumkan Martin perlu menonton dari tepi bagi membolehkan proses pemulihan diteruskan.
Sehingga kini, masih belum pasti sama ada dia akan cergas untuk menyertai ujian di Buriram yang dijadual sebelum pembukaan musim di Thailand pada hujung bulan ini.
Pada pelancaran musim 2026 di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur, kelmarin Martin tampil buat pertama kali menunggang jentera RS-GP.
“Selekoh pertama saya terpaksa menurunkan kaki, jika tidak saya akan terjatuh sekali lagi. Marco (Bezzecchi) menunjukkan saya laluan dan ia adalah tunggangan yang baik.
“Saya memenangi kejuaraan dunia 2018 (Moto3) di sini di Malaysia. Berada di sini membawa banyak kenangan kepada saya, dan menunggang di Kuala Lumpur adalah sesuatu yang menakjubkan.
“Jadi, saya rasa tiada tempat yang lebih baik untuk memulakan musim 2026 dan menunggang jentera MotoGP semula. Jadi, saya benar-benar gembira dapat melakukannya,” katanya. – AGENSI/UTUSAN











