PENYAKIT tibi atau dalam bahasa saintifik dikenali sebagai tuberkolisis bukan penyakit baharu di negara kita.
Walaupun pada masa kini penyakit berjangkit ini sedang mengalami peningkatan, namun ia mula tersebar luas sejak sebelum Perang Dunia Kedua lagi.
Tidak dinafikan terdapat banyak penulisan akademik dihasilkan dalam bidang Sejarah Kesihatan Awam yang menjurus perbincangan ke atas penyakit berjangkit.
Walau bagaimanapun, disebabkan kajian sejarah ini kurang dimasyarakatkan menyebabkan orang awam sukar mendapat akses untuk membaca dan memahami penyebaran serta usaha kawalan sejarah penyakit tibi.
Dalam Sejarah Malaysia khususnya di Tanah Melayu, tibi merupakan antara penyakit berjangkit utama yang melanda pada era pasca Perang Dunia Kedua dan era Darurat sekitar 1948 hingga 1956.
Sepanjang tempoh 1948 hingga 1958, tibi kekal sebagai ancaman kesihatan utama di Tanah Melayu. Kadar jangkitan dan kematian akibat tibi merupakan yang tertinggi berbanding penyakit lain.
Laporan Tahunan Jabatan Perubatan Persekutuan Tanah Melayu menunjukan jumlah yang tinggi dalam bilangan pesakit tibi. Misalnya, jumlah pesakit pada 1950-an berlipat ganda berbanding dekad sebelumnya, dengan kematian tahunan mencecah anggaran 6,000 orang menjelang pertengahan tahun 1950-an.
Selepas Perang Dunia Kedua, pesakit tibi lazimnya dirawat di pusat rawatan khusus kerana rawatan ubat-ubatan yang berkesan hanya mula diperkenalkan pada hujung 1950-an. Contohnya Streptomisin, PAS dan Isoniazid.
Di peringkat persekutuan, pihak British berusaha mencegah penyakit ini melalui penyelidikan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMD), Institut Tuberkolisis dan Penyakit Mental serta sebuah hospital khas untuk merawat tibi di Melaka.
Hospital khas ini ditubuhkan atas cadangan Lembaga Penasihat Tibi Persekutuan Tanah Melayu agar satu tuberculosis out-door treatment ditubuhkan pada 1948.
Menjelang 1956, tibi masih merupakan endemik serius dengan kadar jangkitan tertinggi, terutama di kawasan bandar yang padat penduduk.
Walaupun program kawalan tibi di peringkat kebangsaan secara rasmi hanya dimulakan pada 1961, namun bagi menampung jumlah pesakit sepanjang tempoh 1948 hingga 1956 menyebabkan pihak British menambah bilangan katil rawatan dan klinik di setiap negeri sebagai langkah kawalan awal.
Jadual di atas menunjukkan jumlah kes tibi mengalami penurunan yang konsisten dari 1948 hingga 1952.
Penurunan ini mencerminkan kejayaan awal pelbagai usaha kesihatan awam yang dilaksanakan selepas Perang Dunia Kedua.
Walau bagaimanapun, bermula 1953, jumlah kes kembali meningkat secara perlahan-lahan hingga mencecah hampir paras asal iaitu 7,155 kes pada 1956, berbanding 7,328 kes pada 1948. Ini menunjukkan cabaran berterusan dalam mengawal penyebaran penyakit tersebut dalam keadaan sosioekonomi yang tidak stabil akibat ancaman keselamatan.

KEKAL BERWASPADA
Namun keadaan ini amat berbeza pada masa sekarang, tatkala keadaan sosioekonomi negara kita lebih baik serta nilai matawang ringgit sedang kukuh, namun jumlah penyakit tibi juga turut meningkat.
Sehingga 15 Februari, Sabah mencatakan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 614 kes diikuti Selangor (476 kes), Sarawak (257 kes), Johor (233 kes) serta Kuala Lumpur dan Putrajaya (202 kes).
Sebanyak 148 kes direkodkan di Pulau Pinang, Kedah (144 kes), Perak (127 kes), Kelantan (96 kes), Pahang (81 kes), Terengganu (60 kes), Negeri Sembilan (58 kes), Melaka (42 kes), Perlis (17 kes) dan Labuan (16 kes).
Walaupun, jumlah ini tidak setinggi seperti yang pernah dicatatkan dalam sejarah negara sebelum merdeka, namun sikap waspada dalam kalangan masyarakat mestilah diutamakan untuk mengelak pisang berbuah dua kali.
Oleh itu, sejarah kesihatan awam mengenai penyakit tibi memperlihatkan satu fasa kritikal terhadap transformasi kesihatan awam di Malaysia.
Di sebalik kesukaran zaman sebelum kemerdekaan, namun dasar-dasar kesihatan yang dilaksanakan berjaya mengurangkan impak penyakit tibi dan memperkukuh sistem kesihatan negara secara berperingkat.
Perkembangan ini bukan sahaja menyelamatkan banyak nyawa, malah menyediakan asas kukuh kepada sistem kesihatan nasional yang lebih maju dan berdaya tahan.
Oleh itu, betapa pentingnya komitmen kerajaan, sokongan masyarakat dan penyesuaian strategi dalam meningkatkan tahap kesihatan penduduk sebagai pengajaran sejarah yang tetap relevan hingga ke hari ini.-UTUSAN
DR. Aszlan Selamat ialah Pensyarah Kanan, Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM).










