Kekalkan kod pemilihan FAM

Kekalkan kod pemilihan FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kod pemilihan jawatan dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) wajar dikekalkan bagi memastikan mereka yang layak sahaja membarisi saf kepimpinan badan induk itu.

Menurut sumber kepada Utusan Malaysia, desakan agar pencalonan dalam pemilihan FAM dipermudahkan hanya jalan pintas kepada mana-mana individu yang ingin mengikut jalan ‘mudah’.

Katanya, kaedah pemilihan yang diamalkan dalam statut badan induk bola sepak negara ketika ini sudah terbukti berkesan dan tidak melanggar sebarang kriteria pemilihan yang telah ditetapkan.

“Ada cadangan supaya FAM ubah kod pemilihan, bagi saya cadangan ini hanya jalan pintas untuk mereka yang tidak mendapat pencalonan yang cukup daripada ahli gabungan untuk jawatan tertentu.

“Semua calon untuk bertanding dalam jawatan di FAM perlu mendapat ‘restu’ ahli gabungan, ada syarat-syarat tertentu, ini bagi memastikan kredibiliti jawatan dipertandingkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, terdapat cadangan supaya statut FAM berhubung perkara membabitkan pelantikan jawatan selain jumlah pencalonan diubah bagi membolehkan lebih ramai tampil merebut jawatan.

Ketika ini, individu yang berhasrat merebut jawatan No.1 FAM perlu memastikan mereka memiliki sokongan ‘kukuh’ daripada ahli gabungan dengan minimum enam pencalonan.

Bagi merebut jawatan Timbalan Presiden pula, mana-mana individu memerlukan lima pencalonan, Naib Presiden (empat pencalonan) dan Ahli Jawatankuasa (dua pencalonan) daripada ahli gabungan.

“Contohnya untuk jawatan presiden, kena kekalkan enam pencalonan. Kalau longgarkan syarat untuk satu atau dua pencalonan, ini berisiko mengundang mereka yang tidak layak untuk bertanding,” katanya lagi.

Pemilihan FAM dijangka berlangsung pada Jun depan membabitkan perebutan emua jawatan selepas semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi penggal 2025–2029 yang meletakkan jawatan pada 28 Januari lalu.

Situasi itu membuka laluan kepada pemilihan baharu yang pastinya bakal mencorakkan hala tuju bola sepak negara untuk tempoh empat tahun akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN