Ekonomi gig fleksibiliti maya atau ketidakpastian nyata?

Ekonomi gig fleksibiliti maya atau ketidakpastian nyata?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYANGKAN sebuah dunia di mana ‘pejabat’ hanyalah aplikasi di telefon dan majikan adalah algoritma yang tidak pernah tidur. Inilah realiti ekonomi gig yang merombak pasaran buruh global dari pekerjaan tetap kepada kontrak jangka pendek dan tugasan platform seperti Grab, Foodpanda atau Upwork.

Dalam arus digitalisasi, pekerjaan menjadi footloose (bebas bergerak). Namun, di sebalik fleksibiliti dan kebebasan masa, timbul ketegangan adakah ekonomi gig benar-benar memberi autonomi kepada pekerja atau sekadar membungkus semula eksploitasi buruh tradisional dalam bentuk digital yang licik? Isu ini penting kerana menjejaskan keselamatan sosial, maruah buruh dan kestabilan ekonomi negara.

Di sebalik tabir ‘kebebasan’ yang dilaung-laungkan ekonomi gig, tersembunyi sebuah realiti yang rapuh dan membimbangkan. Kita sedang menyaksikan kelahiran kelas sosial baharu yang dipanggil sebagai ‘precariat’. Mereka ini golongan pekerja yang hidup dalam ketidaktentuan yang kekal. Maksudnya, mereka bekerja keras hari ini, namun tidak mempunyai simpanan hari tua seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tiada perlindungan ketika sakit (Pertubuhan Keselamatan Sosial, Perkeso), malah tiada jaminan sama ada masih mempunyai pekerjaan untuk hari esok.

Keadaan ini diperburuk oleh budaya meminta dan berbual. Dalam pasaran digital yang sesak, buruh terpaksa bersaing secara agresif demi menarik perhatian pelanggan. Mereka terpaksa ‘berbual’ tentang kehebatan profil, namun pada masa sama ‘meminta’ tugasan dengan cara merendahkan kadar upah.

Ini bukanlah persaingan sihat, melainkan sebuah ‘perlumbaan ke bawah yang menghakis maruah dan nilai sebenar tenaga kerja manusia.

Paling tragis ialah munculnya kehidupan yang retak. Walaupun dianggap fleksibel, namun pekerja gig sebenarnya menjadi hamba kepada algoritma. Demi mengekalkan ranking yang baik di aplikasi, mereka terperangkap dalam kitaran kerja 24 jam sehari. Waktu makan bersama keluarga atau waktu rehat peribadi sentiasa dicerobohi oleh notifikasi tugasan. Akhirnya, waktu dan ruang peribadi runtuh sepenuhnya. Inilah harga sebenar yang terpaksa dibayar dalam ekonomi tanpa janji ini.

Dalam skala nasional, ekonomi gig muncul sebagai enjin pertumbuhan baharu yang tidak boleh dipandang remeh. Ia bukan sekadar tentang penghantaran makanan atau e-hailing tetapi merupakan nadi utama yang memacu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Digital negara.

Melalui kecekapan logistik yang luar biasa dan kepantasan transaksi dalam talian, sektor ini membolehkan aliran tunai berputar dengan lebih dinamik dalam ekosistem ekonomi moden yang serba pantas.

Dari sudut kestabilan sosial, ekonomi gig berfungsi sebagai ‘span’ yang sangat efektif dalam mengurangkan kadar pengangguran statistik. Ia menyerap ribuan tenaga kerja, termasuk graduan muda dan mereka yang kehilangan pekerjaan, ke dalam sektor tidak formal.

Keupayaan ini memberi kelegaan kepada kerajaan dalam mengimbangi angka pengangguran rasmi, sekali gus menyediakan jaringan keselamatan kewangan segera bagi rakyat untuk mendepani krisis kos sara hidup.

Paling utama, fenomena ini menjadi pemangkin kepada pecutan transformasi digital. Kehadiran platform gergasi memaksa masyarakat dan perusahaan kecil sederhana (PKS) untuk keluar daripada kepompong tradisional dan mengadaptasi teknologi digital dengan lebih agresif.

Hasilnya, ekonomi gig bukan sahaja menyumbang kepada angka peratusan pertumbuhan tetapi mengubah struktur fundamental negara menjadi sebuah ekonomi lebih berdaya saing, celik teknologi dan sentiasa bersedia untuk masa hadapan.

Namun, di sebalik sumbangan angka KDNK yang memberangsangkan, ekonomi gig sebenarnya menyimpan ‘bom jangka’ yang boleh menggugat kestabilan negara dalam jangka masa panjang.

Risiko paling kritikal ialah hakisan asas cukai dan sistem keselamatan sosial. Apabila sebahagian besar rakyat beralih kepada pekerjaan gig tanpa sistem caruman teratur seperti KWSP atau Perkeso menyebabkan negara bakal berhadapan krisis kebajikan yang parah.

Tanpa simpanan hari tua yang mencukupi, beban sara hidup golongan ini akhirnya terpaksa ditanggung sistem bantuan sosial kerajaan yang semakin mengecil.

Fenomena ini mengancam kuasa beli jangka panjang rakyat. Upah yang tidak menentu dan ketiadaan struktur kenaikan gaji tetap menyukarkan pekerja gig untuk membina kekayaan atau memiliki aset asas seperti rumah. Hal ini bukan sahaja melumpuhkan pasaran hartanah, malah boleh menjejaskan aliran tunai domestik kerana pekerja tiada jaminan kewangan untuk berbelanja secara konsisten.

Lebih membimbangkan, kemunculan tentera cadangan global di ruang siber. Di platform digital yang sama, pekerja tempatan kini dipaksa bersaing dengan buruh dari negara lain yang sanggup menerima upah jauh lebih rendah. Persaingan tanpa sempadan ini mencetuskan ‘perlumbaan ke bawah’ apabila standard upah dan maruah buruh semakin terhimpit.

Jika trend ini berterusan tanpa campur tangan undang-undang, maka ekonomi gig berisiko melahirkan negara dengan pertumbuhan statistik tinggi, namun didiami rakyat yang hidup dalam kemiskinan struktur kekal.

Persoalan besar menghantui, adakah pekerjaan gig merupakan model ekonomi yang boleh bertahan lama atau sekadar gelembung yang menanti masa untuk pecah?

Kelestarian sektor ini kini diancam hebat oleh badai automasi dan kecerdasan buatan (AI). Tugas-tugas rutin seperti entri data, penterjemahan, malah khidmat penghantaran kini berisiko tinggi untuk digantikan oleh robot dan algoritma pintar. Tanpa evolusi kemahiran, buruh gig manusia mungkin hanya menjadi ‘penyendal’ sementara sebelum teknologi mengambil alih sepenuhnya.

 

PERUBAHAN

Oleh itu, kelestarian ekonomi gig bergantung kepada campur tangan kerajaan yang tegas. Kerajaan tidak boleh lagi menjadi penonton pasif sebaliknya, sistem perundangan perlu segera dirombak untuk mengiktiraf pekerja platform sebagai buruh rasmi.

Ini termasuklah mewujudkan kerangka undang-undang yang menjamin hak perlindungan sosial minimum dan keselamatan kerja. Tanpa pengiktirafan ini, pekerjaan gig akan kekal menjadi model ekonomi yang rapuh dan tidak bermaruah.

Akhir sekali, memerlukan evolusi kesatuan sekerja dalam bentuk yang baharu. Model kesatuan tradisional harus berubah menjadi organisasi digital yang mampu menyatukan suara buruh yang tersebar untuk berunding secara kolektif dengan syarikat platform gergasi.

Hanya melalui keseimbangan antara inovasi teknologi, perlindungan undang-undang dan kuasa tawar-menawar pekerja, membolehkan ekonomi gig beralih daripada sebuah sistem eksploitasi kepada model pekerjaan yang lestari serta adil untuk masa hadapan negara.-UTUSAN

DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Penolong Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN