Carrick suntik nafas baharu buat Manchester United

Carrick suntik nafas baharu buat Manchester United

Penyerang Manchester United, Bryan Mbeumo (kanan) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan dalam aksi Liga Perdana Inggeris menentang Tottenham Hotspur di Old Trafford, kelmarin. – FB MANCHESTER UNITED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Kapten Manchester United, Bruno Fernandes menyifatkan kehadiran Michael Carrick sebagai faktor utama kebangkitan semula pasukan itu dengan bekas pemain tengah legenda kelab tersebut berjaya menyuntik keyakinan dan kebebasan baharu di Old Trafford.

United meneruskan momentum positif mencatat kemenangan keempat berturut-turut di bawah kendalian Carrick selepas menundukkan Tottenham Hotspur 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), kelmarin.

Menurut Fernandes, pendekatan Carrick jelas memberi kesan segera kepada pemain, bukan sahaja dari sudut taktikal, malah dari aspek mental dan tanggungjawab di atas padang.

“Carrick datang dengan idea yang tepat, memberi pemain tanggungjawab dan kebebasan di atas padang.

“Saya memang yakin dia akan menjadi pengurus yang hebat dan dia sedang membuktikannya. Kami harap dapat te­rus membantunya dengan lebih baik,” katanya.

Prestasi konsisten itu me­nyaksikan Carrick kekal tanpa kalah dalam tujuh perlawanan sepanjang tempohnya sebagai pengurus sementara United, sekali gus menguatkan desakan agar beliau diberikan peluang memimpin pasukan sehingga tamat musim ini.

Fernandes turut menegaskan bahawa Carrick memahami sepenuhnya budaya dan tekanan besar yang datang bersama lencana United.

“Semua orang faham tekanan bermain untuk kelab ini dan semua tahu jangkaan yang meng­iringinya.

“Dia tahu apa maknanya untuk kelab ini menang. Ia memberi sesuatu yang istimewa kepada pasukan,” tambahnya. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN