AUKU wajar dikekalkan sebagai mekanisme pemerkasaan mahasiswa

AUKU wajar dikekalkan sebagai mekanisme pemerkasaan mahasiswa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERDEBATAN mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bukanlah perkara baharu dalam pendidikan tinggi di negara ini.

Sejak penggubalannya lebih setengah abad lalu, akta ini menjadi topik utama perdebatan, terutamanya dalam kalangan pelajar dan masyarakat umumnya.

Pada dasarnya, fokus utama perdebatan berkisar tentang sama ada AUKU masih relevan dan perlu diteruskan atau harus dimansuhkan.

Jika dinilai secara rasional, akta ini dilihat sebagai mekanisme tadbir urus universiti yang relevan dan signifikan dalam menyokong pelajar. Ia juga turut dilihat melahirkan generasi pemimpin yang kompeten dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Semenjak diperkenalkan pada 1971, AUKU mengalami proses pindaan sebanyak lapan kali bermula tahun 1975 sehingga yang terkini pada 2024. Pindaan yang berterusan ini secara tidak langsung membuktikan AUKU bukanlah sekadar undang-undang yang rigid dan kaku, sebaliknya sentiasa diperbaharui dan disesuaikan dengan persekitaran semasa.

Tuntasnya, pindaan ini juga jelas menunjukkan betapa relevannya AUKU dalam dunia pendidikan tinggi Malaysia hari ini terutama dalam mengawal kebebasan bersuara agar elemen pematuhan terhadap undang-undang kekal menjadi teras kebertanggungjawaban mahasiswa.

AUKU berdiri sebagai model tadbir urus keamanan dan keselamatan universiti dari aspek kestabilan akademik yang melindungi semua komponen universiti dan memberi perlindungan terhadap populasi pelajar dalam melayari kehidupan kampus lebih harmoni.

Perlu diakui, kebebasan tanpa bimbingan mudah mencetuskan kekeliruan, manakala kawalan berlebihan pula menutup ruang perbincangan dan melemahkan kepimpinan. Dalam konteks ini, AUKU berfungsi sebagai mekanisme keseimbangan antara kebebasan dan tanggungjawab.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebut “kita ingin melahirkan pemikir yang berani, kritikal, kompetitif dan akhirnya produktif”.

Justeru, mahasiswa tidak seharusnya menjadi pemerhati atau pengkritik tetapi sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara.

Inilah semangat yang didukung AUKU, yakni menggalakkan penglibatan pelajar secara lebih meluas, selaras dengan pindaan terkini yang membuka ruang dan menyediakan landasan bagi perubahan yang lebih signifikan dalam landskap pendidikan tinggi.

Dalam konteks pendidikan tinggi, tanggungjawab ini dikongsi secara kolektif, khususnya oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, yang menyatakan pendirian keperluan universiti melahirkan graduan bukan sahaja berilmu tetapi juga berintelek dan berkarakter.

Kejayaan pendidikan tinggi tidak seharusnya diukur melalui pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya melalui pembentukan nilai, etika, integriti dan jati diri pelajar.

Selari dengan aspirasi ini, AUKU berperanan sebagai kerangka tadbir urus yang menyokong pembangunan holistik pelajar, memastikan mereka dibentuk sebagai profesional yang berpengetahuan, bermoral dan berkemahiran.

Pindaan AUKU pada 2019 dan 2024 membuka ruang yang lebih luas kepada mahasiswa untuk memainkan peranan aktif dalam kehidupan kampus, khususnya melalui kebebasan berpersatuan, pengurusan aktiviti serta pemerkasaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan badan pelajar.

Mahasiswa kini diberi kepercayaan yang lebih besar untuk mengurus organisasi, kewangan dan sumbangan secara bertanggungjawab.

Perkembangan ini menandakan peralihan penting daripada pendekatan kawalan kepada pendekatan pemerkasaan, yang menuntut tahap kematangan dan akauntabiliti lebih tinggi dalam kalangan pelajar.

Namun, peranan mahasiswa tidak seharusnya dilihat sekadar pada kerangka peraturan atau teks undang-undang. Pengalaman di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), khususnya melalui pengurusan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), menunjukkan AUKU boleh menjadi ruang pembentukan generasi baharu mahasiswa yang berwawasan, bertanggungjawab dan beretika.

Apabila diberikan kepercayaan dan ruang untuk memimpin, mahasiswa bukan sahaja belajar mengurus organisasi tetapi juga membina jati diri sebagai warganegara yang prihatin terhadap amanah dan kepentingan bersama.

UniMAP, misalnya, memperlihatkan bagaimana peranan mahasiswa dapat diperkukuh melalui pelaksanaan proses pemilihan kepimpinan pelajar yang lebih matang dan berperingkat.

 

BUKA RUANG

Proses ini memberi peluang kepada mahasiswa mengurus perjalanan demokrasi kampus daripada pendaftaran calon, pembentukan manifesto, kempen beretika hingga pengendalian pilihan raya dengan campur tangan minimum pihak universiti.

Pendekatan ini menjadikan kampus sebagai makmal demokrasi sebenar, di mana mahasiswa belajar kepimpinan berkasit rapat soal kepercayaan, mandat dan tanggungjawab.

Melalui pengalaman sebegini, mahasiswa dididik untuk memahami kebebasan yang diberikan datang bersama kewajipan untuk menjaga integriti, memelihara keharmonian dan membuat keputusan berasaskan nilai.

UniMAP juga memperkukuh peranan mahasiswa melalui sistem pengurusan kewangan badan pelajar yang berstruktur, bertujuan mendedahkan mereka kepada realiti pengurusan dana, perbelanjaan, sumbangan dan prinsip akauntabiliti.

Pendekatan ini membolehkan mahasiswa memahami kepimpinan bukan sekadar idea dan retorik tetapi melibatkan tanggungjawab sebenar terhadap sumber, keputusan dan kepercayaan yang diberikan.

Hasilnya ialah pembentukan pemimpin pelajar yang lebih bersedia menghadapi dunia sebenar. Mereka lebih matang dalam membuat keputusan, berdisiplin dalam pengurusan dan peka terhadap praktikaliti kepimpinan.

Sejarah juga membuktikan AUKU tidak menghalang perkembangan mahasiswa, sebaliknya menyediakan kerangka yang memperkukuh persediaan mereka sebagai pemimpin masa hadapan.

Pandangan ini selari dengan pemikiran tokoh-tokoh kepimpinan dunia yang menekankan pendidikan sebagai proses pembentukan insan secara menyeluruh.

Nelson Mandela menyatakan pendidikan ialah senjata paling berkuasa untuk mengubah dunia, namun ia hanya bererti apabila dipandu nilai dan akauntabiliti.

John F. Kennedy pula mengingatkan kegagalan kepimpinan sering berpunca daripada kebebasan yang tidak disertai disiplin.

Prinsip-prinsip ini bertepatan dengan watak AUKU, yang menekankan keseimbangan antara kebebasan, tanggungjawab dan pembentukan kepimpinan berintegriti dalam kalangan mahasiswa.

Dalam era pembaharuan ini, AUKU wajar kekal sebagai mekanisme pemerkasaan yang berteraskan tanggungjawab.

AUKU menjadi asas kepimpinan yang berdisiplin dan di situlah terletaknya peranan pentingnya dalam membentuk warganegara masa hadapan negara.-UTUSAN

 

DATUK Prof. Dr. Zaliman Sauli ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

PROFESOR Dr. Mohd. Mustafa Al Bakri Abdullah ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×