RABAT: Pengendali Senegal, Pape Thiaw berdepan risiko digantung daripada tugasnya untuk satu tempoh yang panjang selepas mengarahkan pemain meninggalkan padang ketika final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), kelmarin.
Dalam final penuh drama itu, Maghribi diberikan sepakan penalti pada saat akhir permainan yang mencetuskan kemarahan pemain dan penyokong sebelum Thiaw mengarahkan skuadnya keluar padang sebagai tanda bantahan.
Difahamkan, Thiaw boleh dikenakan hukuman berat termasuk penggantungan dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) sudah membuka siasatan terhadap insiden itu.
Presiden FIFA, Gianni Infantino berkata, pihaknya mengecam keras tingkah laku sebahagian penyokong serta beberapa pemain dan kakitangan teknikal Senegal ketika aksi final AFCON.
“Tidak boleh diterima untuk meninggalkan padang dengan cara sebegitu, dan keganasan juga tidak boleh diambil ringan dalam sukan ini. Kita mesti menghormati keputusan pegawai perlawanan kerana kegagalan berbuat demikian menggugat asas bola sepak.
“Adegan buruk ini mesti dikecam dan tidak boleh diulang. Saya jangka badan disiplin CAF akan mengambil tindakan sewajarnya,” kata Infantito.
Sementara itu CAF dalam kenyataan memaklumkan pihaknya sedang meneliti semua rakaman dan akan merujuk perkara berkenaan kepada badan berkaitan untuk tindakan sewajarnya terhadap pihak yang didapati bersalah.
Sedar hukuman bakal menanti, Thiaw telah bertindak segera dengan memohon maaf atas tindakannya dan mengakui semua itu dilakukan berdasarkan emosi sebagai pengendali pasukan.
“Selepas berfikir, saya sedar saya tidak sepatutnya meminta mereka keluar. Saya memohon maaf. Kadang-kadang kita boleh bertindak mengikut emosi.
“Sebelum itu kami menjaringkan gol yang tidak dikira (jaringan Ismaila Sarr dibatalkan). Tetapi sekarang kami menerima hakikat pengadil boleh melakukan kesilapan dan kami meminta maaf,” kata Thiaw. – AGENSI/UTUSAN










