Rombakan kepimpinan FAM perlu menyeluruh

Rombakan kepimpinan FAM perlu menyeluruh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolase­pak Malaysia (FAM), Datuk Seri Azzuddin Ahmad berkata, badan induk itu perlu melakukan rombakan kepemimpinan menyeluruh jika mahu me­lihat bola sepak negara dise­lamatkan.

Beliau berkata, perubahan separuh masak tidak lagi rele­van, sebaliknya FAM perlu berani ‘mengosongkan’ struktur sedia ada dan membina semula kepimpinan yang benar-benar berwibawa bagi mengembalikan kepercayaan awam serta hala tuju bola sepak negara.

“FAM perlu direset 100 peratus, bukan 20 atau 30 peratus. Kita perlukan barisan baharu yang muda, dinamik, telus dan paling penting, ikhlas bekerja untuk bola sepak Malaysia.

“Jika tiada perubahan menyeluruh dilakukan, saya melihat masa depan bola sepak negara semakin gelap. Sebab itu saya harap peletakan jawatan secara beramai-ramai ini dibuat dengan keikhlasan, bukan untuk meredakan tekanan,” katanya kepada pemberita pada Anugerah Sukan Pekak Negara 2025 di sini, semalam.

Kelmarin kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM meletakkan jawatan berkuat kuasa serta merta sekali gus membolehkan sebuah jawatankuasa interim dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menilai tadbir urus badan induk itu.

Dalam pada itu, Azzuddin yang juga Penasihat Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) menyifatkan kehadiran pasukan khas AFC yang membantu FAM melaksanakan penilaian dalaman berasaskan penanda aras persatuan bola sepak moden bertaraf antarabangsa sebagai satu tamparan.

“Setahu saya, dalam konteks Asia Tenggara, ini mungkin kali pertama sebuah persatuan bola sepak terpaksa dipantau dan dibimbing oleh AFC.

“Itu sendiri sudah menggambarkan tahap kepercayaan terhadap pengurusan badan induk itu,” katanya.

Kelmarin, Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, pasukan berkenaan akan diketuai oleh Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany bersama beberapa konsultan bagi me­laksanakan penilaian sebelum membentangkan laporan cadangan penambahbaikan kepada FAM.

Windsor berkata, hasil penilaian yang akan dibentangkan kepada Kongres FAM itu dijangka menjadi asas kepada perubahan struktur dan dasar yang perlu dilaksanakan bagi memastikan FAM mampu keluar daripada krisis berpanjangan serta kembali relevan di pentas bola sepak antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN