Real, PSG gagal ke kelompok lapan teratas

Real, PSG gagal ke kelompok lapan teratas

Pemain-pemain Benfica meraikan kejayaan menewaskan Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara di Lisbon, semalam. AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Liverpool, Manchester City dan Barcelona mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara (UCL), semalam namun juara bertahan Paris Saint-Germain (PSG) dan Real Madrid gagal menamatkan saingan dalam kelompok lapan teratas.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool membelasah Qarabag 6-0 pada pusingan kelapan dan terakhir fasa liga di Anfield untuk menamatkan kedudukan di tempat ketiga daripada 36 pasukan di belakang Arsenal dan Bayern Munich yang lebih awal mengesahkan kemaraan.

Mereka disertai Tottenham, Barcelona, Chelsea, Sporting Lisbon dan Manchester City ke pusingan 16 terbaik.

Bagaimanapun, PSG perlu melalui pusingan play-off kalah mati seperti musim lalu selepas seri 1-1 di laman sendiri menentang Newcastle.

Juara 15 kali, Real Madrid turut terlepas kelayakan terus ke pusingan 16 selepas tewas 2-4 dalam aksi dramatik di laman Benfica kendalian bekas jurulatih mereka, Jose Mourinho, yang merebut slot play-off terakhir hasil jaringan minit ke-98 oleh penjaga gol, Anatoliy Trubin.

Pengurus baharu Madrid, Alvaro Arbeloa mengakui prestasi pasukannya jauh di bawah tahap sebenar dan kekalahan itu menyaksikan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Kami sedar cabarannya, kami tahu apa yang menanti dan jelas ia melebihi kemampuan kami pada malam ini. Saya rasa kami jauh daripada tahap sebenar yang perlu dipamerkan.

“Saya sudah sebut sejak beberapa hari lalu, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki,” katanya.

Pada aksi itu, Kylian Mbappe menjaringkan dua gol buat Real manakala Andreas Schjelderup menjaringkan dua gol dan Vangelis Pavlidis menyempurnakan penalti untuk tuan rumah.

Bagi Mourinho, yang pernah mengurus Real antara 2010 dan 2013, ia adalah kemenangan pertamanya menewaskan bekas kelabnya sejak meninggalkan mereka.

“Saya rasa memang kami layak menang dan bagi Benfica, ia satu kejayaan besar menewaskan Real Madrid,” kata Mourinho.

Undian malam ini akan menentukan sama ada Benfica berdepan ulangan pertemuan dengan Real atau Inter Milan yang berada di tangga ke-10, kelab yang membolehkan Mourinho menjulang kejuaraan pada 2010.

“Saya tidak boleh kata saya lebih suka yang mana satu kerana ke Real saya suka dan sudah lama tidak ke sana, ke Milan pun saya suka dan jarang ke sana.

“Real dan Inter adalah pasukan yang mampu memenangi Liga Juara-Juara, manakala kami pasukan yang hanya mampu melakukan sesuatu yang luar biasa,” katanya. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN