MEMERANGI rasuah dan membersihkan sistem pentadbiran negara daripada pelbagai isu salah laku dan penyelewengan bukan suatu tugas yang mudah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengakui masih belum berpuas hati sepenuhnya dalam usaha menangani rasuah, meskipun prestasi penguatkuasaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan pencapaian yang membanggakan.
Ironinya kita perlu akui masalah rasuah yang sedang dihadapi negara bukan sahaja bersifat endemik tetapi juga berlaku dalam ekosistem yang cukup sistemik. Jelas sekali kerajaan dan agensi penguatkuasaan sedang berhadapan cabaran cukup besar, khususnya bila melibatkan pemimpin besar dan tokoh korporat atau lebih dikenali sebagai ‘jerung’ selain ‘ikan bilis’.
Persekitaran yang mencabar ini sekali gus menuntut tekad dan iltizam besar pihak kerajaan dalam meneruskan agenda memperbaiki tadbir urus dan tatakelola pentadbiran negara di pelbagai peringkat.
Beberapa kes berprofil tinggi yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak kebelakangan ini menunjukkan masalah rasuah di beberapa institusi strategik negara cukup membimbangkan, malah mula mencetuskan krisis keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap institusi yang sepatutnya memartabatkan amanah awam.
Memandangkan rasuah disifatkan endemik dan berlaku secara sistematik, maka apakah hanya kerajaan yang perlu dipertanggungjawabkan untuk memeranginya? Bagaimana dengan peranan anggota masyarakat yang menjadi penyumbang utama masalah ini terus berleluasa?
Pihak kerajaan dilihat cukup serius dalam usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa. Kebebasan yang telah diberikan kepada SPRM untuk menyiasat, menangkap dan mendakwa mana-mana individu baik pemimpin politik mahupun pegawai atasan perkhidmatan awam mencakupi jerung mahupun ikan bilis menzahirkan tekad kerajaan yang mahu membersihkan negara daripada najis rasuah.
Malah keputusan terkini kerajaan berkaitan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara wajar dilihat satu lagi tekad reformasi institusi yang cukup penting.
Langkah signifikan ini membolehkan kedua-dua entiti menjalankan fungsi masing-masing secara lebih berkesan sekali gus keputusan untuk mendakwa atau sebaliknya terutama dalam kes rasuah berprofil tinggi akan dilihat lebih adil kerana tidak lagi dipengaruhi oleh pertimbangan politik atau peranan eksekutif.
Jadi pada situasi sekarang kerajaan memerlukan sokongan tidak berbelah bagi pelbagai pihak baik pemimpin politik mencakupi kerajaan dan pembangkang, pihak korporat, penjawat awam, ibu bapa serta rakyat agar sama-sama berganding bahu memerangi rasuah dari peringkat akar umbi.
Pertama sekali anggota masyarakat perlu menghargai dan menyokong segala inisiatif dan tekad kerajaan khususnya dalam bentuk reformasi institusi yang sedang dan bakal dilaksanakan sebagai wadah untuk memperbaiki masalah tatakelola dan tadbir urus yang pincang di pelbagai peringkat.
Hentikan pandangan sinis dan persepsi negatif, sebaliknya sebagai rakyat yang bertanggungjawab yang mahukan negara ini dimajukan dan dibangunkan dengan penuh bermaruah adalah penting untuk kita menzahirkan sokongan padu kepada segala usaha baik kerajaan ini.
Walaupun apa yang sedang diusahakan oleh kerajaan pada ketika ini mungkin tidak mendatangkan hasil yang cepat, namun struktur baharu dibina diyakini mampu mencetuskan sinar harapan besar kepada masa hadapan negara yang lebih telus, adil dan berintegriti.
Kita perlu yakin dengan usaha yang dilaksanakan, tidak boleh berputus asa atau kecewa jika tidak menyelesaikan masalah rasuah dalam jangka pendek kerana bukan mudah mengubati virus dan membersihkan kekotoran yang sudah menjadi endemik.
Walaupun perit, kita memerlukan tekad yang kuat supaya ada keberanian bagi memastikan masa hadapan dipaksa terus bergerak demi melahirkan warganegara yang berintegriti walaupun sejarah enggan melepaskan genggamannya.
Setiap seorang daripada kita juga perlu mempunyai tekad dan keberanian moral untuk menolak rasuah dalam apa jua bentuk, yakni berani katakan tidak kepada rasuah. Misalnya, jangan normalisasikan amalan seperti memberi duit kopi, wang tepi, duit bawah meja atau sogokan kecil yang selama ini dianggap sebagai perkara biasa untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan.
Kita perlu faham betapa budaya seperti ini secara tidak langsung menormalisasikan rasuah, menjadikannya semakin sukar untuk diperangi dari peringkat akar umbi.
Anggota masyarakat perlu ada tahap kesedaran yang tinggi jika serius mahu bantu kerajaan dan agensi penguatkuasaan untuk memerangi rasuah kerana memerlukan perubahan nilai dan sikap diri secara menyeluruh.
Sedar atau tidak tingkah laku kita selama ini seperti ‘tidak mengapa’ dan ‘asal boleh jalan’ mewujudkan sikap toleransi terhadap salah laku rasuah sehingga menjadi sistematik dan sukar dibanteras secara berkesan.
Rakyat juga perlu memikul tanggungjawab untuk melaporkan rasuah kepada pihak berkuasa. Amalan rasuah dan penyelewengan menjadi endemik kerana masing-masing tutup mata dan tidak cakna dengan apa yang sedang berlaku di sekitar kita. Ini menyebabkan sindiket yang terlibat bertindak dengan lebih berani dan yakin tidak akan terdedah atau ditangkap.
Tindakan berdiam diri walaupun tahu ada berlaku amalan tidak betul dalam organisasi adalah sikap yang tidak wajar, malah boleh dikatakan bersubahat kerana membiarkannya berlarutan.
Proses asuhan, pendidikan dan pembudayaan integriti juga perlu terus diperkasakan sebagai sistem tonggak yang penting dalam menyokong tekad mahupun pembaharuan institusi yang dilakukan kerajaan.

SEMUA PIHAK MAINKAN PERANAN PENTING
Pelbagai usaha dilakukan kerajaan perlu disokong dengan inisiatif melahirkan warganegara yang mampu memahami bahaya rasuah terhadap kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara. Hakikatnya, rasuah mahupun korupsi adalah virus moral yang perlu ditangani dengan sistem asuhan dan pendidikan yang berstruktur.
Dalam konteks ini peranan ibu bapa, sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) sangat penting selain perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing secara efektif.
Tugas mengasuh dan mendidik ilmu moral mencakupi soal kejujuran, amanah, integriti, tanggungjawab dan ketelusan perlu berlaku secara berstruktur dari rumah hingga ke IPT supaya kita dapat membentuk generasi masa depan negara mengikut acuan yang kita kehendaki yakni berani tolak rasuah.
Tuntasnya, kita melihat pihak kerajaan cukup serius dalam soal membanteras rasuah serta bersedia melakukan pelbagai reformasi institusi bagi mengawal dan membanteras virus moral ini.
Justeru sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita perlu menyokong tekad kerajaan selain sama-sama berganding bahu membina sebuah masyarakat dan negara yang maju serta bermaruah.-UTUSAN
PENULIS ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM).










