LONDON: Tonggak pertahanan Manchester United, Harry Maguire mengakui para pemain lebih senang bekerjasama dengan Michael Carrick selepas kemenangan bergaya ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal.
Menurut pertahanan tinggi lampai itu, semua pemain telah bersatu dan mengikut arahan Carrick yang dilantik sebagai pengurus sementara sehingga hujung musim ini bagi menggantikan Ruben Amorim yang dipecat.
“Michael Carrick masuk dan beliau sangat cemerlang bersama kami. Beliau membawa tenaga dan aura baharu. Semua pemain di kelab ini telah benar-benar disatukan olehnya dan pemain juga tahu apa diinginkan.
“Kami melalui dua aksi yang amat sukar (termasuk kemenangan ke atas Manchester City). Ramai menjangkakan kami tidak akan meraih banyak mata, tetapi memenangi kedua-duanya memang luar biasa,” kata Maguire.
Kejayaan mengutip tiga mata di gelanggang keramat Arsenal itu hadir seminggu selepas satu lagi kejayaan besar iaitu kemenangan ke atas City yang dikendalikan oleh Pep Guardiola di Old Trafford.
Maguire yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sky Sports turut memuji penampilan Matheus Cunha yang meledak gol kemenangan ke atas Arsenal selain menjadi watak penting ketika menewaskan City.
Menurut Maguire, taktikal Carrick memasukkan pemain Brazil itu dari bangku simpanan menggambarkan kekuatan skuad United, dengan pemain seperti Cunha sentiasa bersedia merebut tempat dalam kesebelasan utama.
“Kami memiliki skuad yang lebih besar. Pemain sudah kembali daripada AFCON dan kami ada pemain seperti Matheus yang masuk sebagai pemain gantian. Saya tahu dia mahu bermain, tetapi dia sudah membuat perbezaan dalam dua perlawanan ini.
“Dia masuk menentang City dan mengubah perlawanan dan hari ini sekali lagi dia menjadi pencetus perbezaan. Ia menunjukkan kualiti serangan dalam skuad kami,” katanya.
Walaupun bermula sebagai pemain simpanan dalam kedua-dua perlawanan, Cunha kekal positif dan menegaskan keutamaan utamanya adalah membantu pasukan.
“Semua pemain ada kualiti dan semua mahu bermain. Keputusan paling penting adalah membantu pasukan. Setiap minit yang diberikan, anda perlu berikan segala-galanya untuk pasukan dan rakan sepasukan,” kata Cunha. – AGENSI/UTUSAN










