KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Pahang, Mohd Sufian Mohamad menarik nafas lega selepas berjaya membawa pasukannya melepasi saingan Kumpulan B Kejohanan Hoki Lima Sebelah (5s) Kebangsaan, semalam.
Kumpulan B dilabel sebagai ‘kumpulan maut’ berikutan dianggotai juara bertahan edisi 2024, Perak, selain Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.
Sufian mengakui laluan Pahang ke separuh akhir bukan mudah, namun tetap bersyukur apabila pasukannya berjaya melunaskan tugasan meskipun terikat dua keputusan seri ketika menentang Kelantan dan Perak, kelmarin.
“Kita memang berada dalam kumpulan yang sangat mencabar. Ada Perak selaku juara bertahan, Kelantan dan Terengganu, tetapi alhamdulillah kami berjaya melepasi halangan ini.
“Walaupun mencatat dua keputusan seri sebelum ini, hari ini kami berjaya meraih kemenangan dan setakat apa yang saya lihat, Pahang sudah mengesahkan tempat ke separuh akhir,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Pahang menutup kempen Kumpulan B dengan penuh bergaya apabila menewaskan Terengganu 7-3 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Dalam pada itu, Sufian turut mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak memandang ringan ancaman pasukan Kuala Lumpur sekiranya bertemu di separuh akhir, memandangkan lawan itu masih belum tewas setakat ini.
“Kalau lihat Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, kedua-duanya tidak kurang hebat. Kejohanan ini pula masih baharu dan ramai pemain belum biasa dengan format 5s.
“Namun saya harap dari satu perlawanan ke satu perlawanan, pemain kami dapat menyesuaikan diri kerana corak permainan dan undang-undangnya agak berbeza,” katanya. – UTUSAN









