PETALING JAYA: Biarpun kecewa dengan pencapaian skuad skuad Speedy Tigers, peminat hoki negara boleh berbangga dengan pencapaian skuad hoki lima sebelah (5s) yang bergelar naib juara Piala Dunia Hoki 5s 2024.
Anak-anak buah Wallace Tan terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas tewas 2-5 di tangan gergasi hoki dunia, Belanda pada perlawanan akhir Piala Dunia Hoki 5s yang berlangsung di Stadium Hoki Muscat, Oman, semalam.
Biarpun gagal menjuarai kejohanan sulung Piala Dunia Hoki 5s itu, pencapaian ke final sudah pun memahat satu sejarah buat hoki negara, terutamanya pasukan terbabit tampil dengan pelbagai kekurangan dalam menghadapi saingan itu.
Wallace juga menyifatkan para pemainnya telah mencapai pencapaian tertinggi dalam karier masing-masing biarpun kecewa gagal merealisasikan impian untuk membawa pulang trofi Piala Dunia ke bumi Malaysia.
“Kita bermula dalam hoki 5’s ini dengan pusingan kelayakan yang berlangsung di Salalah, Oman dan pencapaian naib juara pada Piala Dunia pertama ini adalah tertinggi untuk kita.
“Setelah pusingan kelayakan lalu, kita kembali jalani latihan dan cuba perbaiki beberapa perkara dalam pasukan sehingga kita mencapai apa yang kita ada pada hari ini.
“Terima kasih rakyat Malaysia atas sokongan kepada kami, para pemain sudah pamerkan aksi terbaik mereka dan bergelar naib juara. Saya harap rakyat Malaysia terus sokong pasukan hoki negara,” kata Wallace.
Sebelum ini, peminat sukan hoki kecewa dengan perkembangan sukan hoki selepas Speedy Tigers gagal melunaskan misi untuk layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.-UTUSAN










