RABAT: Kontroversi yang berlaku ketika aksi final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) antara Senegal dan Maghribi, semalam memalukan bola sepak benua Afrika.
Jurulatih Maghribi, Walid Regragui mengecam tindakan pemain Senegal yang bertindak meninggalkan padang selepas protes terhadap keputusan pengadil.
Dalam aksi final itu, pemain Senegal meninggalkan padang sebagai tanda protes pada lewat permainan sebelum kembali beraksi untuk menjulang Piala AFCON.
“Imej yang kita tunjukkan tentang bola sepak Afrika adalah memalukan. Terpaksa menghentikan perlawanan selama lebih 10 minit dengan seluruh dunia menyaksikannya.
“Tindakan bukanlah sesuatu yang berkelas. Tahniah kepada Senegal, walaupun apa yang dipamerkan sebagai bola sepak Afrika agak mengecewakan,” kata Regragui.
Gol kemenangan Senegal dijaringkan Pape Gueye pada minit ke-94 selepas bintang Maghribi, Brahim Diaz gagal menyempurnakan sepakan penalti selepas aksi tertangguh selama 20 minit.
Maghribi dihadiahkan sepakan penalti pada masa kecederaan di penghujung masa sebenar ketika perlawanan masih terikat tanpa jaringan.
Pengadil dari Congo, Jean-Jacques Ndala memberikan sepakan penalti selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) bagi cabaran ke atas Diaz oleh El Hadji Malick Diouf.
Perlawanan tertangguh hampir 20 minit sebelum Diaz mengambil sepakan tersebut, namun percubaan lemah gaya Panenka yang dilakukannya mudah diselamatkan.
Perlawanan kemudian diteruskan ke masa tambahan dan jaringan cantik Gueye menjadi gol kemenangan, sekali gus membolehkan mereka menjulang kejuaraan buat kali kedua.
“Dia (Diaz) mempunyai banyak masa sebelum mengambil penalti itu dan ia pasti mengganggu tumpuannya.
“Namun kita tidak boleh mengubah apa yang telah berlaku. Itulah cara dia memilih untuk mengambil penalti tersebut. Sekarang, kita perlu melihat ke hadapan,” kata Regragui. – AGENSI/UTUSAN










