KUALA LUMPUR: Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 dari 6 hingga 11 Januari ini menjadi medan wajib menang bagi wakil negara, khususnya dalam acara beregu, selepas gelaran Super 1000 itu dianggap badi kepada pemain Malaysia.
Sejak Datuk Seri Lee Chong Wei menjuarai Terbuka Malaysia pada 2018, Malaysia gagal menghasilkan juara, malah sektor beregu lelaki kini sudah kemarau 12 tahun, manakala beregu campuran dan beregu wanita belum pernah menjuarai kejohanan ini dalam tempoh 61 tahun.
Harapan negara terletak pada gandingan campuran juara dunia Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik (No.2 dunia), Man Wei Chong-Tee Kai Wun (No.5 dunia), Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (No.7 dunia) serta beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah (No.2 dunia) untuk membawa gelaran kembali ke tanah air.
Legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek berkata wakil Malaysia dalam tiga acara beregu wajib menempatkan diri di final pada kejohanan pembuka musim itu.
Razif percaya prestasi cemerlang sektor beregu pada musim lalu memberikan motivasi tambahan kepada pemain untuk menamatkan penantian negara bagi gelaran di Super 1000 itu.
“Ini adalah kejohanan pertama tahun baharu dan kita bermain di laman sendiri, jadi pemain perlu ada mindset berbeza, bersedia dan berani mengerah kemampuan maksimum.
“Mereka perlu lebih tegas dan meningkatkan tahap permainan,” kata Razif kepada Utusan Malaysia.
Sejak Chong Wei menjuarai Terbuka Malaysia 2018, pemain negara gagal mara ke final meskipun beberapa kali menembusi separuh akhir.
Pada musim lalu, gandingan Wei Chong-Kai Wun, Tang Jie-Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai berjaya menempah tempat di separuh akhir, menunjukkan kebangkitan sektor beregu.
“Kami berharap wakil negara dalam beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran sekurang-kurangnya dapat mara ke final,” katanya. – UTUSAN










