‘Kalau mahu mengungkit, banyak kita boleh ungkit’

‘Kalau mahu mengungkit, banyak kita boleh ungkit’

JOHAN ABD. AZIZ,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASCA Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 menonjolkan imej parti yang memegang amanah kestabilan negara. Malah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan prinsip garis merah parti yang tidak boleh disentuh, sambil membuka ‘rumah bangsa’ untuk sesiapa yang ingin kembali dengan niat ikhlas selain kolaborasi agung bagi menyatukan parti politik Melayu.

Namun, sejak PAU2025 bermula, kenyataan-kenyataan sinis daripada DAP, termasuk mengungkit isu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua, mencerminkan usaha pihak tertentu sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap UMNO.

Namun, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, DATUK JOHAN ABD. AZIZ, menegaskan beliau tidak menghiraukan provokasi tersebut, sebaliknya memberi fokus untuk berkhidmat kepada rakyat dengan penuh amanah.

Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, beliau menegaskan prinsip UMNO adalah keikhlasan, penyatuan dan perkhidmatan kepada rakyat manakala isu-isu provokatif atau sengaja diungkit tidak wajar dijadikan penghalang bagi memperkukuh parti mahupun membina kepercayaan rakyat.

Temu bual ini turut disertai jurufoto, MUHAMAD IQBAL ROSLI dan juruvideo, ZUID SAMSON.


 

UTUSAN: Bagaimana Datuk melihat PAU kali ini?

JOHAN : Ucapan Presiden jelas mahu UMNO dilihat sebagai parti yang bukan mengejar kuasa atau kebendaan tetapi memegang amanah kestabilan negara. Garis merah UMNO tetap tidak boleh disentuh atau dirunding.

Presiden juga menunjukkan jiwa besar dengan membuka ‘rumah bangsa’ bagi membaiki dan membesarkannya serta menjemput kembali mereka yang pernah tersasar atau melakukan kesilapan. Segala amaran, teguran atau sindiran sebelum ini diluahkan dengan jujur, menandakan pintu parti masih terbuka.

Kehadiran bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, dan penerimaan semula Datuk Tahjudin Rahman membuktikan kesungguhan presiden dalam menilai setiap situasi.

Seruan membaiki dan membuka ‘rumah bangsa’ langkah strategik untuk memperbetulkan keadaan dan menjemput mereka yang ingin kembali dengan niat ikhlas. Pendekatan ini wajar dipuji kerana bersifat bijak, manusiawi dan bukan menghukum.

 

Presiden juga bercakap tentang penyatuan orang Melayu, adakah akan ada kerjasama dengan parti lain seperti sebelum ini?

Presiden menekankan UMNO tidak membatasi pintu kepada mana-mana pihak. Beliau menegaskan penyatuan Melayu tidak bergantung kepada garis parti semata-mata, mungkin kita bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), mungkin dengan PKR atau pihak lain, asalkan niat ikhlas.

Presiden menyatakan beliau telah memperbaiki ‘rumah’ UMNO, kita besarkan rumah kita dan mengundang sesiapa yang ingin kembali dengan hati yang tulus. Jika tidak ikhlas, lebih baik tidak masuk sama sekali.

Prinsip ini menunjukkan UMNO menghargai keikhlasan, sesiapa yang ingin menyertai ‘rumah bangsa’ ini mesti masuk dengan niat yang betul.

Di peringkat cawangan dan bahagian, tiada syarat berlebihan untuk mereka yang ingin kembali.

Bagi saya, ini menunjukkan kepimpinan seorang pemimpin yang berani, tidak rakus kuasa dan menitikberatkan kepentingan Melayu secara keseluruhan, bukan semata-mata untuk diri atau jawatan.

 

Kenyataan Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh dalam ucapannya menyebut ‘musuh’ nyata UMNO dalam kerajaan membolehkan penyatuan dilaksnakan?

Kalau ikutkan, semua parti Melayu pernah bekerjsama dengan DAP termasuk Pas, betul? Hanya rakyat yang tidak bersetuju kerjsama itu. Jangan temberanglah.

Pas cakap kita ‘jilat DAP’, bukankah mereka yang menjalin kerjasama dengan parti itu dahulu khususnya di Selangor? Mereka ‘jilat’ dulu baru tubuhkan kerajaan. Jadi bagi saya, kata-kata ini semua bagi kepentingan sama ada parti ataupun kumpulan-kumpulan tertentu.

Sudah berulang kali presiden kata, tidak mahu ‘terkena patuk’ di tempat yang sama dua kali.

 

Bagaimana pula mahu mengukuhkan UMNO di Selangor?

Yang penting dalam apa jua institusi, badan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu menekankan perpaduan.

Kalau ingin mengukuhkan dan memantapkan sesuatu, jangan mudah berpecah. Prinsip itu saya pegang sejak dulu.

Contohnya, di Hulu Langat, saya memegang jawatan hampir lima penggal, termasuk tiga penggal tanpa pertandingan.

Saya sentiasa membuka pintu untuk bekerjasama. Seperti yang sering saya katakan, berpecah itu mudah tetapi untuk bersatu kembali, payah.

 

Adakah penyatuan yang dicadangkan presiden membantu UMNO untuk menang di Selangor dalam pilihan raya akan datang?

Sudah tentu jika kita menarik kumpulan-kumpulan yang besar. Lagipun presiden menyebut parti, bukan individu. Pun begitu, individu yang ingin menyertai juga boleh, malah kumpulan parti pun boleh ‘lamar’.

Seperti yang disebut, ada pihak yang sudah datang untuk merisik dan presiden menunjukkan jiwa besar dengan tidak menutup pintu. Bagi saya, ini satu cara untuk memantapkan lagi UMNO.

Parti-parti ini bersatu dan bergabunglah, yang penting, keikhlasan perlu dijaga supaya tidak berlaku kesilapan yang sama dua kali.

 

Maksudnya, inilah masanya untuk UMNO Selangor ‘come back’?

Sepatutnya, proses ini berlaku dari peringkat pusat hingga ke bawah. Saya sendiri tidak pernah menutup pintu. UMNO bahagian saya kini hanya ada sekitar 75 cawangan, tetapi sesiapa saja yang ingin membuka 132 cawangan, tiada halangan. Saya tidak gentar jika ada yang mahu bersaing. Malah, sehingga pemilihan terakhir, saya menang tanpa pertandingan. Inilah prinsip yang akan saya terus pegang bersama-sama dengan keikhlasan, kita bantu memperkukuh parti.

 

Selepas ucapan Dr. Akmal pada Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO, kita dapat lihat dalam kalangan DAP nampak gusar sehingga mengeluarkan kenyataan cabar-mencabar. Bagaimana Datuk melihat reaksi ini?

Memang ada cabar-mencabar, setiap individu ada karakternya sendiri. Begitu juga dengan pemimpin DAP. Dr. Akmal pun turut mencabar.

Tapi harus dilihat dalam konteks yang luas. Keputusan atau tindakan presiden bukan semata-mata atas diri sendiri tetapi termasuk juga peranan untuk memperkuatkan sayap termasuk Pemuda dan hubungan dengan ahli di peringkat bawah. Kalau cadangan Dr. Akmal itu untuk Melaka sahaja, bolehlah tapi kita perlu lihat juga di Sabah, Sarawak dan negeri semenanjung lain.

Pandangan Dr. Akmal mungkin bertujuan mendidik atau menunjukkan cara DAP beroperasi, termasuk bagaimana mereka mengawal percakapan dan tindakan, sebagai satu cabaran yang perlu dibuktikan.

 

Pengerusi DAP Cawangan Shah Alam, Muhammad Shakir Ameer Mohideen mengungkit kerusi Dusun Tua yang tidak dipertahankan DAP kerana menyerahkannya kepada UMNO. Mungkinkah kenyataan itu seolah memberi bayangan hubungan UMNO dan DAP kini keruh?
Atas perundingan asal yang dijanjikan Presiden untuk saya bertanding di Semenyih tetapi akhirnya kita letakkan calon Wanita. Tentang kerusi Dusun Tua pula, saya hanya tahu seminggu sebelum penamaan calon. Sebagai ahli UMNO, pastinya saya mengikut ‘arah’ parti.

Lagipun satu sahaja kerusi DAP bagi kepada UMNO, bukan banyak pun. Kita bertanding 12 daripada 56 kerusi, kalau nak cerita mengenai adil, patut bagi sama rata.

Ini pun sudah berunding sehingga peringkat pucuk pimpinan tertinggi baru dapat 12 kerusi, jika tidak lima sahaja yang kemudiannya dinaikkan kepada tujuh.

Maksudnya, jangan mengungkitlah. Kalau mahu mengungkit, banyak kita boleh ungkit, kan? Kalau betul adil, kenapa kuota ahli majlis, ketua kampung tidak bagi kepada UMNO?

Saya tidak mahu mengungkit sebaliknya hanya ingin bekerja dengan amanah. Ini kerana sebagai wakil rakyat, saya perlu memberi perkhidmatan yang baik. Saya hanya mahu menang dengan kerja dan berkhidmat untuk rakyat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×