KUALA LUMPUR: Bekas jaguh berbasikal trek kebangsaan Josiah Ng menegaskan masa depan kem berbasikal trek negara terletak pada barisan pelapis, bukannya masih bergantung kepada senior.
Beliau mengingatkan pelumba senior seperti Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom hanya boleh menjadi pelengkap, dan kejayaan di pentas antarabangsa tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu mereka.
“Azizulhasni sudah bertambah usia dan berkemungkinan akan bersara tetapi masa yang menentukan. Shah Firdaus masih ada peluang untuk menyerlah, namun kita tidak boleh terlalu mengharap pelumba senior,” kata Josiah.
Kejayaan skuad muda dalam Sukan SEA Thailand 2025 termasuk empat emas dan satu perak membuktikan bakat pelapis negara kini berada di tahap kompetitif dan mampu menerajui kem berbasikal trek.
Momentum itu turut diperkuatkan dengan pencapaian Azizulhasni dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri pada perlumbaan Austral Wheelrace di Australia baru-baru ini sebagai pemanas badan menjelang musim 2026.
Josiah yakin dengan sokongan padu, bimbingan jurulatih pakar, dan fokus kepada pelumba pelapis, kem berbasikal trek negara mampu mengekalkan prestasi cemerlang menghadapi Sukan Komanwel Glasgow 2026 dan kelayakan Olimpik Los Angeles 2028.
“Ini adalah masa yang tepat untuk mereka bersinar. Sukan SEA adalah kejohanan pertama yang patut dimenangi. Mereka bertuah kerana memiliki sokongan, kewangan dan kepakaran jurulatih. Kita berada di landasan terbaik,” katanya. – UTUSAN










