Enam bulan untuk baiki ranking

Enam bulan untuk baiki ranking

K. Letshanaa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita, K. Letshanaa dan Wong Ling Ching diberi tempoh enam bulan untuk menempatkan diri dalam kelompok 32 terbaik dunia.

Jurulatih perseorangan wanita, Iskandar Zulkarnain Zainuddin berkata, beliau mahukan kedua-dua pemain itu berusaha memperbaiki kedudukan ranking yang disasarkan terlebih dahulu sebelum menilai semula persembahan mereka untuk baki enam bulan seterusnya.

“Letshanaa dan Ling Ching menjadi fokus saya untuk musim 2026 dengan sasaran pertama ialah pada Kejohanan Badminton Indonesia Masters.

Wong Ling Ching

“Ling Ching saya harap dapat melepasi pusingan kelayakan untuk ke undian utama, selepas itu, fokus lebih besar adalah pada Februari nanti untuk Kejohanan Berpasukan Asia,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Berbeza dengan Ling Ching, pemain perseorangan wanita No. 1 negara, Letshanaa yang menghuni ranking ke-42 dunia layak secara automatik ke undian utama Indonesia Masters dan dijangka berdepan pemain No. 32 dunia, Hsu Wen Chi dari Taiwan di pusingan awal.

Iskandar yang mula menyertai skuad kebangsaan pada Oktober lalu berkata, para pemain sudah mula menunjukkan keserasian dengan corak latihan yang diterapkannya dan boleh mengadaptasi tekanan dalam kejohanan disertai mereka.

“Cuma dari segi mentaliti saya tak nak mereka berasakan yang mereka sudah sampai ke satu tahap yang tinggi. Kita masih dalam proses dan proses itu memakan masa.

“Macam Ling Ching, dia sudah ada kejayaan menewaskan pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia, tapi saya ingatkan dia untuk terus mengorak langkah demi langkah mengikut kejohanan yang ditetapkan untuknya,” ujar beliau.

Iskandar berkata, Letshanaa pula sudah ada pengalaman bermain di tahap Super 500 dan Super 750, jadi, tahun ini pemain itu perlu manfaatkan pengalaman tersebut dan letak sasaran untuk bermain di tahap Super 1,000 pula. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×