Dorgu buat Man. United resah

Dorgu buat Man. United resah

Patrick Dorgu mengalami kecederaan semasa pasukannya menentang Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris minggu lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kemenangan dramatik Manchester United ke atas Arsenal dibayar dengan harga mahal apabila pemain sayap muda mereka, Patrick Dorgu dijangka berehat panjang sehingga 10 minggu akibat kecederaan otot paha.

Tonggak berusia 21 tahun dari Denmark itu mengalami kecederaan berkenaan pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Emirates, Ahad lalu yang menyaksikan United menang 3-2.

Dorgu sebelum itu mencuri tumpuan apabila meledakkan jaringan menarik yang membolehkan skuad Red Devils kembali mendahului 2-1, sekali gus melengkapkan persembahan bertenaga sepanjang perlawanan.

Bagaimanapun, kegembiraan United disentap apabila Dorgu terpaksa meninggalkan padang kira-kira 10 minit sebelum wisel penamat selepas mengalami ketidakselesaan ketika cuba mengejar hantaran jauh.

Pemain itu dilihat rebah sambil memegang bahagian paha sebelum menerima rawatan di atas padang dan tidak mampu meneruskan permainan, memaksa pengendali United, Michael Carrick melakukan pertukaran lewat.

Kehilangan Dorgu untuk tempoh panjang dijangka memberi kesan besar kepada perancangan pasukan, terutama ketika United berdepan jadual perlawanan padat dalam beberapa minggu akan datang.

Menurut laporan The Athletic, United masih menjalankan penilaian lanjut terhadap kecederaan itu, dengan tempoh 10 minggu dianggap anggaran awal.

Bagaimanapun, SunSport melaporkan kelab itu masih belum menetapkan jangka masa rasmi untuk tempoh rehat pemain berkenaan.

Carrick sebelum ini berharap Dorgu hanya mengalami kekejangan otot dan bukannya kecederaan serius.

“Dia dikeluarkan dan kami berharap ia sekadar kekejangan, mudah-mudahan tidak serius.

“Buat masa ini sukar untuk dipastikan, jadi kami perlu menunggu dan melihat. Harap ia tidak terlalu teruk,” kata Carrick.

Jika tempoh rehat 10 minggu itu menjadi kenyataan, Dorgu akan terlepas sekurang-kurangnya lapan perlawanan bersama United, termasuk aksi menentang Aston Villa, Newcastle dan Tottenham.

Gol menentang Arsenal itu adalah jaringan ketiga Dorgu musim ini, selain turut mencatat tiga bantuan gol setakat ini. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN