PETALING JAYA: Pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dijangka kembali menyarung jersi negara bagi menyertai dua kejohanan besar termasuk Piala Dunia pada Mac ini.
Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan Harnizam Basri berkata, Azizulhasni akan menyertai slot pasukan kebangsaan dalam Piala Dunia 1 di Perth, Australia pada 6 hingga 8 Mac ini sebelum beraksi di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC).
“Sebagai pelumba profesional dia masih berlatih dengan kita. Untuk slot pasukan kebangsaan dia akan menyertai kami pada kejohanan Piala Dunia 1 dan kemudian dia akan beraksi di ACC dekat Filipina.
“Setakat ini, apa yang dibincangkan pada kejohanan di Perth kita akan menghantar lapan pelumba pecut, empat lelaki dan empat wanita manakala satu lagi daripada acara endurance,” katanya
Terdahulu, pelumba yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman itu membuktikan beliau di tahap terbaik apabila muncul juara acara pecut dan keirin pada Grand Prix New Zealand di Cambridge, Disember lalu.
Pelumba kelahiran Dungun itu turut memenangi emas bagi acara pecut dan keirin dalam Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) 1 di Velodrom Nasional, awal bulan ini.
Azizulhasni kini beraksi sebagai pelumba bebas bersama Team Azizul selepas meninggalkan program Majlis Sukan Negara awal tahun lalu. – UTUSAN










