PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memilih pendekatan terbuka dengan memberi laluan sepenuhnya kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk menilai serta meneliti aspek tadbir urus badan induk itu dalam usaha memperkukuh pentadbiran dan hala tuju bola sepak negara.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, kehadiran pasukan pakar penilai AFC disifatkan sebagai peluang penting untuk mengenal pasti kelemahan sedia ada selain merangka pembaharuan yang lebih sistematik dan berkesan.
Menurutnya, sekretariat FAM bersedia bekerjasama rapat dengan pasukan berkenaan tanpa sebarang sekatan, termasuk membuka akses terhadap struktur organisasi, kewangan, statut dan mekanisme pentadbiran.
“Kami menjemput AFC untuk melihat apa yang ada di FAM sekarang ini berdasarkan pengalaman yang ada pada mereka. Bagi pihak sekretariat, memang kami bersedia dan akan bekerjasama rapat dengan AFC mengenai apa yang perlu dilakukan.
“Sekarang ini dalam tempoh tiga, empat bulan memang kami perlu bekerja keras, tengok apa yang harus diperbetulkan dan yang lebih penting adalah perkembangan bola sepak negara. Terima kasih kepada barisan Jawatankuasa Eksekutif yang berbesar hati untuk meletakkan jawatan.
“Mereka meletakkan bola sepak negara melebihi daripada kepentingan peribadi. Terima kasih juga kepada AFC yang sanggup bersama dengan kami dan mengambil langkah untuk membentuk persatuan (FAM) supaya menjadi organisasi lebih mantap, cemerlang dan profesional,” katanya.
Noor Azman turut menyifatkan keputusan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM meletakkan jawatan secara sukarela sebagai satu langkah berani dan berjiwa besar demi kepentingan organisasi.
“Tindakan itu menunjukkan komitmen tinggi terhadap masa depan bola sepak negara. Kepentingan sukan ini diletakkan mengatasi jawatan dan kepentingan peribadi,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada AFC kerana bersedia turun padang membantu FAM membentuk struktur pentadbiran yang lebih profesional, berdaya saing dan berwibawa. – UTUSAN










