ROMBAKAN Kabinet pada 16 Disember tahun lalu perlu dibaca melangkaui isu siapa naik, siapa turun.
Dalam politik gabungan, rombakan Kabinet ialah instrumen bagi pengurusan kuasa sama ada menutup lompang pentadbiran, menstabilkan gabungan atau menyusun semula titik tumpuan prestasi. Oleh sebab itu, rombakan Kabinet bukan sekadar episod pertukaran individu tetapi merangkumi ujian kemampuan kerajaan untuk membuat keputusan yang selaras, melaksanakan dasar tanpa kekeliruan dan meningkatkan kepercayaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Dalam konteks ini, ada tiga persoalan boleh dilihat dalam menilai barisan Kabinet baharu ini.
- Gabungan stabil, ‘portfolio–fit’ jadi taruhan
Rombakan Kabinet lazimnya mengukuhkan gabungan kerana ia menyusun semula keseimbangan dalaman, mengurangkan geseran dan menempatkan semula tokoh mengikut keperluan koalisi.
Namun pengukuhan gabungan datang dengan risiko besar bagaimana legitimasi Kabinet akhirnya dinilai melalui portfolio–fit dan rekod pengalaman dan pendidikan, bukan retorik.
Di sini, rakyat menilai secara praktikal latar belakang pelantikan utama benar-benar selari dengan medan kementerian.
Kementerian yang memacu pelaburan, perdagangan, ekonomi, pekerjaan dan usahawan memerlukan disiplin dasar, kebolehan menyelaras agensi dan kefahaman ekosistem industri bukan sekadar kemahiran komunikasi politik.
Bagi portfolio yang menyentuh kehidupan harian penduduk bandar dan pinggir bandar seperti penguatkuasaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan perkhidmatan setempat memerlukan keupayaan pelaksanaan jauh lebih penting berbanding kehebatan naratif semata-mata.
Pada masa sama, kerajaan perlu mengakui satu realiti pentadbiran iaitu pelantikan yang membawa ‘beban’ persepsi seperti kontroversi lama, imej yang mudah diserang, atau persoalan kompetensi akan menambah kerumitan di titik permulaan Kabinet tersebut.
Ini bukan soal moral tetapi soal syarat permulaan. Kabinet terpaksa bermula dalam mod pembuktian, bukan sekadar harap kepercayaan. Kalau tiada disiplin petunjuk prestasi utama (KPI) serta laporan hasil yang jelas, minggu-minggu pertama cepat habis dengan urusan defensif sementara birokrasi jadi terlalu berhati-hati dan lawan politik pula boleh ambil kesempatan membingkai naratif sebelum prestasi sebenar sempat nampak.
Jika kerajaan mahu mengurangkan kos legitimasi ini, mekanismenya bukan ‘jawapan manis’ tetapi pengurusan prestasi nyata melalui sasaran 100 hari, misalnya dengan indikator ringkas boleh diaudit dan garis integriti yang jelas.
- Ke mana komposisi ini?
Dalam kerajaan gabungan, perubahan Kabinet biasanya menunjukkan dua perkara serentak iaitu kesinambungan pada portfolio teras negara dan penekanan baharu pada portfolio yang menjadi medan penilaian rakyat khususnya ekonomi harian dan pelaksanaan.
Dalam konteks ini, elemen penting yang menghangatkan perbahasan pasca rombakan ialah kebimbangan terhadap kementerian yang mempunyai pengaruh besar terhadap kerajaan tempatan dan Wilayah Persekutuan, yang kini dilihat dikuasai satu parti dan satu kaum apabila menteri serta timbalannya datang daripada kumpulan etnik yang sama.
Kebimbangan ini hadir kerana parti tersebut sebelum ini lantang menyokong pilihan raya kerajaan tempatan. Ini bukan sekadar polemik partisan tetapi menyentuh isu institusi dan struktur demokrasi bandar.
Jika isyarat yang dibaca rakyat ialah pengukuhan kuasa pusat melalui penguasaan portfolio yang mempengaruhi kerajaan tempatan, maka wajar kerajaan memberi penjelasan awal tentang prinsip, sempadan kuasa dan mekanisme semak imbang agar isu ‘rampasan kuasa’ tidak menjadi naratif dominan selain kegusaran berbaur perkauman tidak menjadi topik perbincangan.
Dalam masa sama, wacana pasca rombakan turut dipacu bukan sahaja oleh kenyataan pembangkang tetapi juga komentar keras daripada sebahagian tokoh dan kumpulan politik termasuk suara yang berhujah bahawa rombakan ini lebih didorong tekanan politik daripada keperluan dasar.
Tambahan pula, pandangan rakyat di media sosial mempercepatkan suhu perdebatan. . Dalam bacaan institusi, ini penting kerana ia mengubah fokus perdebatan daripada sekadar komposisi Kabinet kepada isu proses pembentukan keputusan. Adakah rombakan dibentuk oleh logik prestasi dan dasar, atau logik penyesuaian kuasa di bawah tekanan?
Di sinilah kerajaan perlu berhati-hati kerana rakyat boleh mula melihatnya sebagai Kabinet di bawah tekanan. Apabila persepsi ini terbentuk, mandat simbolik Kabinet akan merosot, kerana dilihat lebih mengurus ancaman daripada memimpin hala tuju. Untuk menutup jurang persepsi ini, penjelasan yang konsisten tentang rasional penempatan ahli Kabinet perlu diberikan.
- Kabinet perkukuh kepercayaan
Bolehkah Kabinet ini menaikkan dan memperkukuhkan kepercayaan? Dalam kajian kepercayaan politik, kepercayaan terbina melalui tiga dimensi iaitu kompetensi, keadilan proses dan integriti. Rombakan Kabinet hanya membuka peluang tetapi tidak menjamin ketiga-tiga ini akan tercapai.
Di sinilah isu era baharu kepercayaan antara kaum menjadi relevan terutama apabila beberapa jawatan utama bertukar pegangan etnik dan pada masa sama portfolio tertentu ditafsir sebagai dekat dengan ekosistem ekonomi rakyat bawahan atau pentadbiran bandar.
Dalam masyarakat majmuk, perubahan simbol kuasa mudah menimbulkan dua bacaan yang bertentangan dengan satu pihak melihat keterangkuman manakala satu pihak lagi merasakan ruang kuasa semakin mengecil. Secara akademik, ini ialah ketegangan antara identity optik (siapa memegang) dan keabsahan keputusan (apa yang dicapai).
Jalan keluar yang paling stabil ialah menukar debat simbol kepada reka bentuk institusi dan bukti hasil. Tiga langkah praktikal boleh menjadi penstabil atau pengukuh kepercayaan:
- Keadilan proses yang boleh ditunjukkan : Untuk portfolio pengagihan seperti usahawan mikro, koperasi, bantuan ekonomi atau perumahan memerlukan kerajaan memaparkan kriteria, proses pemilihan, mekanisme rayuan dan audit. Ini mematikan ruang manipulasi sentimen kerana rakyat menilai aturan, bukan khabar angin.
- Pelaksanaan yang dirasa : Kepercayaan dibina melalui pengalaman harian seperti masa kelulusan, kelajuan menyelesaikan aduan, konsistensi penguatkuasaan, ketelusan perolehan dan keberkesanan program. Tanpa indikator yang bergerak, rombakan akan dilihat sebagai kerusi berirama sahaja.
- Integriti sebagai polisi : Dalam konteks kos legitimasi awal akibat pelantikan yang dipersoal memerlukan kerajaan menutup ruang polemik melalui disiplin prestasi dan garis integriti tegas. Jika tidak, isu personaliti akan menenggelamkan agenda.
Jika indikator ini bergerak dalam 100 hingga 180 hari, barulah rombakan ini boleh ditafsir sebagai penajaman kapasiti. Jika tidak, ia akan kekal sebagai episod politik yang mengubah susunan tetapi tidak mengubah keyakinan.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










