Tiada keperluan pilih Presiden FAM sekarang

Tiada keperluan pilih Presiden FAM sekarang

Syed Yazid Syed Omar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disarankan menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebelum melantik presiden baharu badan induk itu.

Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar berkata, tiada keperluan untuk melantik Presiden FAM yang baharu dalam masa terdekat berikutan bimbang ia akan mengganggu proses rayuan tersebut.

“Bagi saya biar FAM selesaikan proses rayuan mereka di peringkat CAS. Tiada keperluan untuk mengadakan pemilihan segera bagi melantik Presiden FAM yang baharu.

“Jika nak buat juga, tunggu kongres FAM pada tahun depan dan buat pemilihan seperti biasa. Bagi saya adalah lebih baik untuk tunggu sehingga habis penggal baru buat pemilihan.

“Biar pimpinan FAM yang ada sekarang hadap isu ini (pemalsuan dokumen) dan apabila kes sudah selesai baru fikirkan hal presiden pula,” katanya.

Terdahulu, FAM memulakan proses untuk membawa kes pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya ke CAS susulan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sudah mengeluarkan alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan yang menolak rayuan FAM dan tujuh pemain terbabit.

Keputusan itu menyaksikan hukuman denda CHF350,000 (RM1.8 juta) yang dikenakan ke atas FAM oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada September lalu kekal, manakala tujuh pemain terbabit digantung 12 bulan serta dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) setiap seorang.

Ditanya mengenai individu yang sesuai menduduki kerusi No. 1 badan induk itu, Yazid berkata, pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail adalah calon yang paling layak.

“Saya fikir, biar Tunku Mahkota Ismail menjadi presiden saya percaya baginda boleh melakukannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN