Slot enggan layan ‘Drama Salah’

Slot enggan layan ‘Drama Salah’

Pemain pertahanan Liverpool, Conor Bradley diasak pemain Inter Milan, Manuel Akanji ketika dia cuba merembat bola ke gawang gol dalam saingan Liga Juara-Juara di San Siro, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MILAN: Pengurus Liverpool, Arne Slot enggan melayan drama membabitkan Mohamed Salah sebaliknya menegaskan kemenangan 1-0 ke atas Inter Milan dalam saingan Liga Juara-Juara di San Siro adalah milik pemain yang bertungkus-lumus di padang.

Persiapan aksi Liga Juara-Juara itu hangat dengan kritikan pedas Salah terhadap Slot selepas penyerang Mesir itu diketepikan daripada skuad ke Milan sehingga mengundang persoalan sama ada kerjayanya di Anfield sampai ke penghujung.

Sebelum ini, Salah mendakwa seperti “dicampak ke bawah bas” dan hubungan dengan pengendali Belanda itu retak apabila diketepikan ketika seri 3-3 dengan Leeds, hujung minggu lalu.

Namun, Slot dalam sidang media selepas perlawanan nyata tidak berminat menambah minyak ke api.

“Dalam sejarah gemilang Liverpool, banyak malam hebat direkodkan. Tetapi pada musim ini, menang di tempat lawan menentang pasukan sekuat Inter sepatutnya meletakkan tumpuan kepada pemain yang berada di sini. Mereka yang layak menerima pujian,” kata Slot.

Liverpool kini dalam kelompok lapan teratas selepas penalti lewat Dominik Szoboszlai menghadiahkan tiga mata berharga, sekali gus menghidupkan misi mara lebih jauh dalam Liga Juara-Juara.

Slot mengakui keputusan penalti itu agak bertuah, namun turut kecewa apabila jaringan Ibrahima Konate dibatalkan kerana didakwa terkena tangan.

“Kalau itu penalti, kami boleh dapat 10 musim ini. Ia keputusan yang tidak akan diberikan di Liga Perdana Inggeris. Tapi gol kami dibatalkan? Itu lebih jelas satu kesilapan,” tegasnya.

Selepas ini, The Reds akan berdepan Marseille sebelum melayani kunjungan Qarabag dalam aksi terakhir peringkat kumpulan dengan masa depan Salah masih terus menjadi tanda tanya besar di Anfield. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN