LIVERPOOL: Suasana di Anfield semakin bergolak apabila sekumpulan besar penyokong Liverpool mula mendesak sama ada Mohamed Salah atau pengurus, Arne Slot mengambil keputusan berundur susulan prestasi hambar The Reds dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Kontroversi tercetus selepas temu bual panas bintang Mesir itu tular, sekali gus memburukkan lagi keadaan yang sedia tegang di kelab tersebut.
Ramai peminat yang ditemui di sekitar stadium menyifatkan hubungan antara Salah dan Slot kini tidak boleh diselamatkan.
Kenyataan Salah bahawa dia sudah meraih posisinya dan tidak perlu berjuang setiap hari untuk kekal dalam kesebelasan utama menimbulkan kejutan dalam kalangan penyokong, apatah lagi ketika Liverpool sedang bergelut mencari rentak konsisten.
Bagi sebahagian peminat, kata-kata itu dianggap melampau dan tidak wajar keluar daripada mulut pemain yang menjadi nadi pasukan sejak 2016.
“Kalau ini bukan emosi semata-mata, dia memang keterlaluan,” tegas Steve Hughes, 48, salah seorang penyokong tegar yang ditemui di luar Kop.
Malah, ada yang bimbang kenyataan tersebut boleh mencalarkan legasi Salah yang sebelum ini dijulang setaraf legenda seperti Kenny Dalglish dan Ian Rush.
Namun, tidak kurang juga penyokong yang menyebelahi pemain itu dan menyalahkan Slot, sambil mendakwa Salah dijadikan kambing hitam atas prestasi turun naik pasukan.
Kekecewaan memuncak apabila Salah mendakwa dirinya seperti ‘dihumban ke bawah bas’ selepas diketepikan dalam tiga perlawanan berturut-turut, sesuatu yang dianggap tamparan kepada Slot dan menggambarkan hubungan mereka semakin retak.
Di Anfield, perdebatan terus hangat dan ada yang merasakan Salah sudah hilang sentuhan serta percaya Liverpool lebih kukuh dengan pemain-pemain lain yang tampil meyakinkan ketika ketiadaannya.
Namun, dakwaan bahawa The Reds lebih stabil tanpa Salah turut dipersoalkan kerana mereka turut bolos tiga gol ketika menentang Leeds.
Liverpool tidak tewas dalam tiga aksi tanpa penyerang itu apabila mencatat satu kemenangan dan dua seri tetapi angka itu terus menjadi bahan pertikaian penyokong
Sementara itu, kontrak baharu Salah mengekalkan asas gaji mingguannya sekitar 350,000 pound (RM1.9 juta) dan berpotensi mencecah 500,000 pound (RM2.7 juta) termasuk bonus berkaitan prestasi, menjadikannya salah seorang pemain dengan gaji tertinggi di dunia.
Jika memutuskan untuk meninggalkan Liverpool, hanya beberapa kelab mampu menandingi pakej kewangan itu, termasuk minat lama dari kelab Arab Saudi, dengan laporan menyebut Al-Hilal antara kelab yang bersedia menampung perpindahan lumayan itu namun Salah belum bersedia berubah angin.
“Saya tidak mahu jawab soalan itu kerana kelab akan membawa saya ke arah yang berbeza.
“Saya sudah banyak lakukan untuk kelab ini. Saya sayang peminat dan kelab, saya tidak tahu apa seterusnya,” kata Salah. – AGENSI/UTUSAN










