Peniaga kecil ‘jantung’ ekonomi yang semakin tenat

Peniaga kecil ‘jantung’ ekonomi yang semakin tenat

EKONOMI hanya benar bermakna apabila peniaga kecil turut menikmati faedah pertumbuhan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP  kali data ekonomi diumumkan, negara disajikan dengan angka pertumbuhan yang kelihatan meyakinkan. Laporan rasmi menunjukkan ekonomi berkembang dengan kadar stabil, pelaburan asing terus masuk dan beberapa sektor utama kembali pulih. 

Namun apabila melihat kehidupan sebenar peniaga kecil di bandar dan luar bandar, gambaran itu tidak sepenuhnya dirasai oleh mereka. Golongan ini masih bergelut dengan pelbagai tekanan yang semakin menekan setiap bulan.

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia bagi 2024, sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana menyumbang nilai tambah sebanyak RM652.4 bilion. Jumlah ini mewakili 39.5 peratus daripada keseluruhan ekonomi negara. 

Dalam masa sama, sektor ini menggaji lebih 8.10 juta rakyat. Angka ini jelas menunjukkan peniaga kecil bukan sekadar kelompok pinggiran tetapi merupakan bahagian penting dalam kestabilan ekonomi negara. Tanpa mereka, rantaian ekonomi rakyat tidak akan bergerak.

Namun kehidupan mereka tidak semudah angka yang tertera di laporan. Inflasi negara pada Ogos lalu berada pada sekitar 1.3 peratus tetapi kategori makanan dan minuman mencatat kenaikan lebih tinggi iaitu sekitar 2 peratus. Keadaan ini memberi kesan langsung kepada peniaga kecil yang bergantung kepada bahan mentah setiap hari. 

Harga ayam, ikan, sayur dan bawang berubah hampir setiap minggu. Ada yang naik sedikit tetapi kerap sehingga kos harian meningkat lebih cepat daripada pendapatan. 

Bagi peniaga makanan, kenaikan kos ini amat membebankan. Margin keuntungan mereka sudah pun kecil. Jika dinaikkan harga, pelanggan mungkin berkurang. Jika harga dikekalkan, keuntungan semakin mengecil. Inilah dilema harian yang mereka hadapi. 

Keadaan ini berlaku walaupun ekonomi negara dilapor berkembang 5.2 peratus pada suku ketiga 2025. Pertumbuhan itu nyata belum turun kepada peniaga kecil.

Sewa kedai pula meningkat dari tahun ke tahun. Caj utiliti seperti elektrik dan air terus menambah tekanan. Walaupun ada pelarasan tarif elektrik, namun peniaga kecil tetap berada dalam kategori komersial yang memerlukan penggunaan sepanjang hari. Kos penghantaran bahan mentah pula bergantung kepada harga minyak dan caj logistik semasa. Semua ini digabungkan menjadi beban berat yang ditanggung setiap bulan.

Dalam banyak keadaan, peniaga kecil tidak memerlukan modal besar untuk memulakan langkah ke depan. Mereka hanya memerlukan modal pusingan kecil sekitar RM2,000 hingga RM10,000 untuk membeli stok, membaiki peralatan atau menampung aliran tunai. 

Namun proses mendapatkan pembiayaan terlalu rumit. Mereka diminta menyediakan dokumen yang sukar bagi perniagaan kecil seperti penyata kewangan terperinci atau laporan audit. Sedangkan banyak peniaga kecil bekerja berdasarkan rekod jualan harian melalui bayaran tunai atau digital. Rekod ini sebenarnya sudah boleh menunjukkan kemampuan mereka tetapi belum diiktiraf sepenuhnya.

Di samping modal, masalah akses pasaran juga menjadi halangan besar. Ramai peniaga kecil menghasilkan produk yang baik seperti sambal, pes masakan, kuih tradisional, kopi tempatan dan makanan sejuk beku. Walaupun produk ini berkualiti, peluang untuk diletakkan di rak pasar raya besar masih tipis. 

Prosedur rumit, kos pemasaran tinggi dan kebergantungan kepada jenama besar menyebabkan produk peniaga kecil tidak mendapat peluang sewajarnya. Akhirnya mereka kekal dalam pasaran sempit walaupun berpotensi besar.

Masalah pelesenan juga masih membebankan. Ada peniaga perlu berulang kali ke pejabat pihak berkuasa tempatan hanya untuk mendapatkan satu kelulusan.

Proses yang sepatutnya mudah menjadi panjang dan memenatkan. Dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi, peniaga kecil memerlukan pentadbiran yang lebih mesra, bukan tambahan beban.

Keadaan ini ditambah pula dengan masalah rantaian bekalan yang panjang. Harga bahan mentah meningkat kerana terlalu banyak lapisan orang tengah. Peniaga kecil terpaksa membeli pada harga lebih tinggi walaupun harga asas sebenarnya tidak setinggi itu. Akibatnya mereka terpaksa menaikkan harga jualan dan  pelanggan pula mempersoalkan kenaikan tersebut. Sedangkan puncanya bukan pada peniaga tetapi pada sistem yang tidak seimbang.

PENYELESAIAN

Penyelesaian kepada semua masalah ini tidak memerlukan perbelanjaan besar. Banyak boleh dilakukan dengan pendekatan praktikal yang memfokuskan peniaga kecil sebagai bahagian terpenting dalam ekonomi negara. Kos operasi peniaga kecil boleh diringankan melalui rebat utiliti bersasar. Proses pelesenan boleh dipermudahkan melalui sistem penyelarasan satu pintu supaya peniaga tidak lagi menghabiskan masa ke pejabat yang berbeza.

Pembiayaan mikro pula perlu lebih mudah. Rekod jualan digital yang digunakan oleh kebanyakan peniaga seperti pembayaran QR dan sistem jualan tanpa tunai sudah mencukupi untuk memberi gambaran sebenar aliran tunai mereka. 

Jika bank dan institusi kewangan mengiktiraf data ini sebagai syarat kelayakan, maka proses pinjaman kecil boleh diluluskan lebih cepat dan lebih tepat. Ruang pasaran juga perlu dibuka lebih luas. Sementara pasar raya besar boleh diwajibkan meletakkan bahagian khusus produk mikro tempatan agar peniaga kecil diberi peluang yang adil. 

Pembelian rasmi kerajaan boleh memberi keutamaan kepada produk tempatan untuk program bantuan, jamuan dan acara rasmi. Ini boleh meningkatkan aliran jualan peniaga kecil dengan segera.

Bangunan kerajaan atau aset yang tidak digunakan boleh dijadikan pusat sokongan peniaga kecil seperti pusat pembungkusan, dapur komersial atau bilik sejuk. Dengan adanya kemudahan ini, peniaga kecil dapat meningkatkan standard produk tanpa perlu menanggung kos modal tinggi.

Akhirnya, penstrukturan rantaian bekalan perlu diberi perhatian. Pusat borong daerah yang dikendalikan agensi kerajaan boleh membantu peniaga kecil mendapatkan barang pada harga yang lebih rendah dan lebih telus. 

Langkah ini memberi ruang kepada mereka untuk bernafas dan mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

Kesimpulannya, peniaga kecil adalah jantung ekonomi rakyat. Mereka membuka pintu kedai setiap pagi, bekerja lebih masa dan menyara keluarga mereka dengan penuh harapan. Selagi mereka terhimpit, ekonomi negara tidak akan stabil. Sebaliknya, apabila mereka diperkasakan, seluruh negara akan merasai manfaatnya.

Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada angka makro semata mata.

Ekonomi hanya benar bermakna apabila peniaga kecil turut menikmati faedah pertumbuhan. Fokus kita perlu jelas dan tindakan perlu dimulakan sekarang.-UTUSAN

 

DATUK Seri Amir Hussien ialah penuntut tahun akhir ljazah Doktor Falsafah (PhD), Pengajian Perniagaan, Pelaburan Langsung Asing (FDl) di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×