PEMERGIAN Datuk Seri Bung Moktar Radin semalam meninggalkan ruang besar dalam landskap politik Sabah.
Beliau bukan sekadar seorang ahli politik veteran tetapi watak penting dalam membentuk perjalanan politik, pembangunan dan kestabilan Negeri Di Bawah Bayu selama lebih dua dekad.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 66 tahun difahamkan akibat kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan kuman pada paru-paru.
Khabar ini mengejutkan ramai pihak, terutama keluarga besar UMNO, Barisan Nasional (BN) Sabah serta petugas media yang begitu mengenali sifat mesra dan keterbukaan beliau ketika berurusan.
Bung Moktar dilahirkan pada 14 September 1959 di Kampung Bilit, Sukau, Kinabatangan. Beliau memulakan karier politiknya pada usia muda dan mula membina reputasi sebagai pemimpin lantang yang tidak gentar menyuarakan pendapat, walaupun kadang kala kontroversi. Namun satu perkara yang tidak pernah disangkal, komitmennya kepada Sabah amat mendalam.
JEJAK POLITIK
Allahyarham berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Kinabatangan selama enam penggal sejak 1999, suatu pencapaian yang jarang berlaku dalam politik moden tanah air.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, minggu lalu, beliau sekali lagi membuktikan kekuatan pengaruhnya apabila mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag meskipun berdepan saingan sengit enam penjuru.
Kemenangan itu mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya.
Sebagai pemimpin negeri, beliau pernah memegang jawatan penting termasuk Timbalan Ketua Menteri Sabah serta Menteri Kerja Raya Sabah, jawatan yang memberi ruang kepada beliau memperjuangkan pembangunan infrastruktur yang menjadi antara isu teras dan keutamaan beliau.
Namun, peranan terbesar beliau adalah sebagai Pengerusi BN Sabah. Dalam suasana politik negeri yang sentiasa berubah dan penuh cabaran, Bung Moktar memikul tanggungjawab besar untuk menstabilkan BN Sabah, menyusun strategi pilihan raya dan memastikan parti kekal relevan dalam kalangan pengundi.
Keberaniannya ‘membersihkan’ BN Sabah daripada elemen pengkhianat, membuka ruang kepada muka baharu serta pembaharuan dalaman menjadi topik hangat tetapi akhirnya membawa parti kembali mendapat tempat dalam hati pengundi.
PEMIMPIN MESRA MEDIA
Bung Moktar mempunyai hubungan yang unik dengan media. Walaupun gaya politiknya kadang-kadang keras dan tegas, namun amat mudah didekati, mudah memberi respon dan tidak pernah lari daripada menjawab soalan wartawan, meskipun soalan itu sukar atau menyentuh isu sensitif.
Ramai petugas media mengakui Bung Moktar antara pemimpin paling responsif di Sabah, telefon biasanya dijawab, mesej dibalas dan temu bual diberikan tanpa banyak protokol. Sifat ini menjadikan beliau figura yang dihormati bukan sahaja kerana kedudukan politiknya tetapi kerana kejujuran dan keterbukaan beliau sebagai seorang pemimpin.
Bahkan, tidak sampai beberapa jam selepas berita pemergiannya tersebar, pelbagai kisah tentang sisi peribadi allahyarham yang jarang diketahui umum mula dikongsikan di media sosial.
Mereka tampil menceritakan bagaimana Bung Moktar sering menghulurkan sumbangan tanpa publisiti dan memilih untuk berbuat baik dalam diam. Kisah-kisah ini mungkin kecil tetapi bermakna. Pada sisi lain, menggambarkan keikhlasan seorang individu yang meletakkan tanggungjawab kemanusiaan.
KEJAYAAN TERAKHIR
Dalam PRN Sabah baru-baru ini, meskipun BN hanya memenangi enam kerusi, namun kejayaan mempertahankan Lamag dan menyatukan jentera parti dalam suasana politik negeri yang sangat berpecah adalah pencapaian besar.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan sejak 1999 lantang memberi peringatan agar rakyat tidak terpesona dengan slogan ‘Sabah for Sabahan’ yang digunakan parti-parti kecil, kerana baginya pembangunan hanya akan tercapai jika ada kestabilan politik dan kerjasama yang kukuh dengan kerajaan pusat.
Beliau menekankan hanya melalui perpaduan dan kestabilan parti nasional barulah agenda penting bagi Sabah termasuk pembangunan, pengurangan kemiskinan dan penambahbaikan infrastruktur dapat dijalankan secara berterusan dan berkesan.
Pandangan ini mencerminkan pemikiran strategik beliau yang realistik, pragmatik dan sentiasa berpijak di bumi nyata.
KEHILANGAN BESAR BUAT SABAH
Berikutan pemergian Bung Moktar, BN Sabah kini berdepan keperluan untuk menyusun semula hala tuju kepimpinannya. Sumbangannya dalam membangunkan semula parti pasca 2018 menjadikan peralihan ini fasa yang perlu ditangani dengan teliti.
Namun di sebalik persepsi politik, Bung Moktar ialah manusia biasa, seorang suami, seorang bapa dan seorang anak Sabah yang tidak pernah jemu berjuang.
Di Kinabatangan, Lamag dan seluruh Sabah, beliau dikenang sebagai pemimpin yang turun padang, memahami kesusahan rakyat dan tidak pernah meninggalkan kawasan yang diwakilinya.
Bung Moktar mungkin telah pergi tetapi legasinya tidak. Beliau meninggalkan rekod perkhidmatan panjang, perjuangan politik yang konsisten dan kesungguhan memperjuangkan Sabah hingga ke akhir hayat.
Kini, perjalanan politik Sabah akan diteruskan oleh generasi baharu, namun jejak Bung Moktar akan kekal sebagai sebahagian penting sejarah negeri.
Rakyat Sabah, walau apa pun fahaman politik pasti merasakan negeri ini kehilangan seorang tokoh besar.
Untuk Sabah, perjuangan beliau akan terus hidup dalam ingatan rakyat yang pernah merasai khidmat bakti, keikhlasan dan ketegasannya dalam memperjuangkan negeri tercinta ini.
Semoga roh allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.-UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.










