BANGKOK: Pengendali skuad kebangsaan (B-23), Nafuzi Zain tidak menyalahkan pertahanan kanan negara, Aiman Yusof Muhammad Nabil biarpun dilihat menjadi punca kekalahan 0-1 kepada Thailand dalam aksi separuh akhir Sukan SEA 2025, kelmarin.
Dalam aksi berkenaan, kekasaran yang dilakukan Aiman Yusof mencetuskan gol kemenangan Thailand menerusi sepakan percuma pada minit kelapan dan pada minit ke-16 pula, beliau diperintah keluar padang kerana menerima kad kuning kedua.
Menurut Nafuzi, Aiman Yusof merupakan seorang pemain muda yang memiliki prospek masa depan yang cukup cerah untuk mengisi posisi pertahanan kanan skuad kebangsaan dan kesilapan yang dilakukan itu akan menjadi pengajaran berguna baginya.
“Dia (Aiman Yusof ) ada potensi di pertahanan kanan, kesilapan yang dilakukan itu akan beri pengajaran kepada dia untuk kawal emosi dan elak kesilapan mudah. Jadi, saya anggap ini proses pembelajaran untuk dia menjadi lebih matang.
“Saya rasa mungkin kurang pengalaman, dan mungkin tekanan apabila bermain perlawanan besar dengan intensiti tinggi sebegini. Transisi permainan sangat pantas, jadi dia mungkin terbuat kesalahan atau kekasaran yang tidak sepatutnya.
“Apabila sudah mendapat kad kuning, dia sepatutnya boleh mengawal tempo dan emosi, tetapi pada minit-minit awal ia agak sukar. Nasihat saya, ini adalah proses untuk pemain muda bagi menjadi pemain yang lebih baik. Kami tidak boleh menyalahkan pemain sepenuhnya.
“Apa pun, secara keseluruhan saya bangga dengan prestasi yang pemain pamerkan. Biarpun beraksi dengan 10 pemain, kita dapat kawal permainan dan cipta deretan peluang untuk menjaringkan gol dan pemain juga tunjukkan karakter yang bagus.
“Aksi menentang Thailand jelas berbeza dengan apa yang pemain pamerkan ketika berdepan Vietnam. Banyak perubahan yang pemain pamerkan dengan penguasaan bola yang baik, tetapi kita kurang bernasib baik ada pemain kena kad merah,” katanya.
Terdahulu harapan skuad B-23 untuk mara ke final Sukan SEA Thailand 2025 tidak kesampaian apabila tumpas 0-1 kepada tuan rumah, Thailand dalam aksi mendebarkan yang berlangsung di Stadium Nasional Rajamangala, kelmarin.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia akan berdepan Filipina dalam aksi penentuan pingat gangsa esok dan Nafuzi berharap pemain dapat mengekalkan momentum untuk sekurang-kurangnya pulang dengan pingat gangsa.
“Ada empat atau lima pemain utama tidak dapat bermain kerana kecederaan, tetapi bagi pemain yang saya beri peluang nanti, saya rasa inilah masanya untuk mereka tunjukkan kemampuan mereka.
“Apa yang saya lihat, mereka mempunyai prestasi yang baik. Paling penting, saya hanya beri mereka keyakinan untuk bermain. Itu sahaja. Kesilapan sentiasa berlaku dalam bola sepak, tapi kita mesti belajar dan cuba perbaiki. Begitulah cara pemain muda berkembang,” katanya.
Ditanya tentang masa depan menjelang Sukan SEA 2025, Nafuzi berkata, Malaysia mempunyai kumpulan pemain muda yang berpotensi dan peluang untuk Malaysia meraih emas sangat tinggi.
“Sebahagian daripada pemain sedia ada mungkin akan melebihi had umur untuk Sukan SEA akan datang. Tetapi, potensi yang ada pada pemain muda ini, jika kita bangunkan dengan cara yang betul, peluang untuk Malaysia mendapatkan emas adalah sangat tinggi.
“Lebih-lebih lagi kerana kita akan bermain di halaman sendiri (tuan rumah), jadi kita akan dapat lebih kelebihan daripada penyokong kita,” katanya. – UTUSAN










