BEBERAPA tahun kebelakangan ini, buku fiksyen tempatan dipenuhi kisah cinta melampau, gaya hidup mewah dan watak penjenayah glamor, mencerminkan pengaruh budaya luar.
Walaupun popular, namun kandungan sebegini berisiko merosakkan nilai moral dan membentuk persepsi songsang dalam kalangan pembaca muda.
Seperti di Barat dan Asia Timur, sebahagian penulis dan penerbit tempatan mula melihat unsur erotik, hubungan terlarang dan naratif sensasi sebagai ‘jualan utama’ untuk menarik minat pembaca muda yang dahagakan hiburan.
Masalahnya, di sebalik angka jualan yang tinggi, tersimpan kebimbangan besar, bagaimana kandungan sebegini mampu menghakis nilai moral, membentuk persepsi songsang tentang hubungan, malah mengaburkan sempadan antara fantasi dan realiti.
Jika dibiarkan tanpa kawalan, industri penerbitan boleh hanyut menjadi saluran hiburan murahan yang hanya meniru citarasa luar, sambil mengabaikan tanggungjawab membina akal budi pembaca.
LANGKAH KAWALAN KDN
Hakikatnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil langkah tegas dengan mewartakan beberapa judul novel sebagai dilarang terbit dan diedarkan.
Pada tahun ini sahaja, sembilan judul fiksyen popular diharamkan kerana kandungannya dilihat memudaratkan moral, mengagungkan jenayah atau menyentuh sensitiviti agama.
Pengharaman ini dibuat di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) sebagai langkah pencegahan awal, sebelum kandungan yang tidak sesuai sempat memberi kesan meluas kepada masyarakat.
Bayangkan kesan sosial yang berpotensi menular dalam masyarakat apabila setiap judul yang laris mencecah puluhan ribu naskhah ini berlegar dipasaran akhirnya sampai ke tangan pembaca.
Tindakan larangan ini menegaskan pendirian kerajaan pasaran buku tempatan tidak boleh menjadi ruang tanpa tapisan yang membentuk minda dan sikap pembaca secara bebas tanpa kawalan.
TREND LARANGAN BUKU
Berdasarkan rekod awam daripada warta kerajaan dan liputan media, dari 2020 hingga 2025, KDN mewartakan kira-kira 23 judul penerbitan karya fiksyen (novel, cerita bergambar, komik dan naratif panjang) yang diharamkan.
Menariknya, 2024 dan 2025 mencatat lonjakan larangan, terutamanya melalui pakej larangan. Situasi beberapa buku diharamkan secara serentak pada tarikh yang sama kerana berkongsi tema atau sebab larangan yang hampir sama seperti adegan erotik, hubungan terlarang atau isu sensitif agama. Sebagai contoh, pada April lalu, tujuh judul fiksyen popular diwartakan serentak.
Secara umum, larangan ini berpunca daripada kandungan yang menonjolkan adegan seksual eksplisit, hubungan terlarang, bahasa tidak sopan, atau penceritaan yang memuliakan watak jenayah.
Ada juga yang menyentuh isu agama secara sensitif sehingga boleh menimbulkan kekeliruan akidah dan budaya.
Menurut KDN, langkah ini diambil bagi mengelakkan kemudaratan moral dan sosial daripada merebak, di samping memastikan bahan bacaan selari dengan nilai budaya dan undang-undang negara.
KENAPA DIHARAMKAN?
- Kandungan memudaratkan moral
Buku-buku ini sering memaparkan adegan erotik, bahasa kasar atau lucah, dan hubungan bebas tanpa batas. Ia bukan sahaja bercanggah dengan norma kesopanan, malah boleh membentuk tanggapan tingkah laku sebegini adalah normal.
Remaja yang masih membentuk identiti diri mudah terpengaruh, lantas menerima naratif songsang tentang hubungan sebagai sesuatu yang ‘romantis’ atau ‘berani’.
- Pengagungan jenayah dan gaya hidup songsang
Ada karya yang menjadikan watak mafia, pembunuh upahan atau penipu sebagai wira yang bergaya dan mengagumkan. Apabila jenayah dilihat glamor tanpa menunjukkan kesan buruknya, pembaca muda boleh terpesona dan mula mengagumi gaya hidup bahaya ini. Kesan akhirnya, masyarakat semakin hilang rasa takut dan benci terhadap kesalahan jenayah.
- Sensitiviti agama dan budaya
Dalam negara berbilang agama dan budaya seperti Malaysia, setiap naratif yang menyentuh soal kepercayaan perlu ditangani dengan teliti. Namun, ada buku yang memutar belit fakta agama atau menggabungkan elemen fantasi dengan ajaran agama tanpa penjelasan tepat. Hasilnya, timbul kekeliruan dan potensi perbalahan antara komuniti.
- Perlindungan golongan rentan
Kanak-kanak dan remaja adalah pembaca yang mudah terpengaruh. Tema dewasa seperti hubungan intim atau keganasan, jika disajikan tanpa penapisan, boleh menjadi ‘guru senyap’ yang mengubah cara mereka berfikir, berhubung dan menilai sesuatu.
Larangan KDN bertindak sebagai benteng awal untuk melindungi generasi ini.
KESAN JIKA TIDAK DIKAWAL
Jika tiada kawalan, kandungan tidak bermoral akan menjadi biasa. Nilai kekeluargaan dan rasa hormat terhadap undang-undang boleh terhakis. Identiti budaya dan akidah agama boleh bercampur aduk, mewujudkan kekeliruan dan potensi konflik sosial.
Bagi industri penerbitan pula, tanpa kawalan, penerbit mungkin lebih cenderung mengejar keuntungan cepat dengan menghasilkan karya sensasi, mengorbankan kualiti sastera tempatan dan menjejaskan reputasi penulis yang beretika.
Pembaca muda berisiko membina tanggapan salah tentang hubungan dan gaya hidup. Ibu bapa serta pendidik pula terpaksa bekerja keras membetulkan persepsi ini, manakala perpustakaan dan institusi pendidikan berdepan cabaran menapis bahan bacaan.
Pihak berkuasa juga perlu memperuntukkan lebih banyak sumber untuk memantau dan mengawal edaran bahan yang tidak sesuai.
BENTENG NILAI
Di balik setiap naskhah, ada kuasa yang mampu membentuk cara kita berfikir, merasai, dan melihat dunia. Sebab itulah penulis dan penerbit memikul tanggungjawab yang lebih besar daripada sekadar menghiburkan.
Penulis perlu menulis dengan jiwa yang kreatif, berani tetapi tidak melupakan batas moral, agama dan budaya yang menjadi akar masyarakat.
Penerbit pula ibarat benteng pertama, menyaring dan menimbang agar setiap karya yang lahir tidak hanya indah pada bahasa tetapi juga baik pada isinya.
Panel penapisan dalaman dan kerjasama erat dengan pihak berkuasa adalah langkah bijak untuk menjaga kualiti dan integriti karya.
KDN wajar menjadi teman seperjalanan, bukan sekadar pengawal. Panduan yang jelas, program kesedaran yang membina dan penguatkuasaan yang bijaksana akan membuatkan industri ini berkembang tanpa perlu mengorbankan nilai.
Namun, tanggungjawab ini tidak terhenti pada penulis, penerbit atau KDN sahaja. Ibu bapa, pendidik dan masyarakat adalah mata dan telinga yang sentiasa dekat dengan generasi muda.
Memerhati bahan bacaan mereka, berbincang tentang isi cerita dan menanam rasa cinta terhadap bahan bacaan berkualiti akan membentuk pembaca yang tahu membezakan antara sekadar hiburan dan bahan yang benar-benar memberi makna.
Perpustakaan dan institusi pendidikan pula boleh menjadi pelita yang menyaring, membimbing dan mengadakan program literasi yang memupuk daya fikir kritis.
Apabila semua pihak berganding tangan, kita bukan sekadar melindungi masyarakat daripada karya yang merosakkan tetapi juga memupuk sebuah ekosistem penerbitan yang subur, sihat dan penuh tanggungjawab. –UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM).










