PETALING JAYA: Skuad bawah 16 tahun (B-16) negara terpaksa melupakan hasrat ke Piala Asia B-17 2026 selepas tewas 4-0 kepada Vietnam pada aksi terakhir Kumpulan C di Stadium PVF, Hung Yen, kelmarin.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia menamatkan kempen di tempat kedua kumpulan, sekali gus gagal merebut slot automatik ke Piala Asia B-17 di Arab Saudi tahun depan.
Ketua jurulatih, Javier Jorda Ribera mengakui pasukannya bergelut mengawal permainan sejak awal, manakala Vietnam tampil dengan tahap permainan terbaik sepanjang aksi tersebut.
Jelasnya, para pemain turut gagal mengawal tekanan dalam perlawanan yang menjanjikan slot ke Arab Saudi, hingga memberi ruang kepada Vietnam menekan pasukan.
“Secara keseluruhan, Vietnam bermain pada tahap terbaik mereka dan kami tidak berjaya mengawal permainan seperti yang diharapkan. Kami sebenarnya berpeluang membuka jaringan pada gerakan pertama, namun dua minit kemudian mereka menjaringkan gol melalui sepakan percuma dari bahagian tepi.
“Sejak itu, tekanan mula memihak kepada kami dan kami bergelut mengekang serangan balas mereka. Walaupun kami menguasai bola, mereka tetap mengawal tempo perlawanan dan sebelum tamat separuh masa pertama, mereka menjaringkan gol kedua,” kata Ribera.
Tambah Ribera, beberapa perubahan taktikal dilakukan pada separuh masa kedua bagi membolehkan Malaysia mencari gol, namun usaha itu tidak berhasil seperti dirancang.
“Pada waktu rehat, kami membuat beberapa penyesuaian untuk cuba mendapatkan gol dan kami turut mencipta satu lagi peluang baik. Namun, sekali lagi mereka membalas dan menjaringkan gol ketiga.
“Pada ketika itu, kami hampir terkeluar daripada saingan dan kami melakukan pertukaran pemain bagi mengekalkan struktur pasukan. Malangnya, kami tidak berjaya menukar peluang yang ada kepada gol,” ujarnya.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu, menegaskan bahawa anak buahnya telah bekerja keras sepanjang kempen kelayakan itu dan beberapa pemain berpotensi diserapkan dalam skuad atas.
“Sepanjang kejohanan, pasukan bekerja keras dan beraksi baik sebagai satu kumpulan, menamatkan kempen dengan empat kemenangan dan satu kekalahan.
“Kami tidak layak, namun kini kami memiliki beberapa pemain yang boleh dipertimbangkan untuk masa depan dan bagi skuad kebangsaan peringkat umur seterusnya,” jelasnya. – UTUSAN










