KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki utama negara, Leong Jun Hao mengakui musim 2025 bukan tahun terbaik dalam kariernya apabila prestasi yang dipamerkan gagal mencapai jangkaan peribadi meskipun berdepan beberapa detik positif pada awal musim.
Musim ini menyaksikan pencapaian tertinggi pemain berusia 26 tahun itu hanyalah mara ke suku akhir Terbuka Singapura dan Terbuka Hong Kong sebelum pengakhirannya tercalar dengan lima kekalahan pusingan pertama berturut-turut di Terbuka Korea Selatan, Denmark, Perancis, Hylo dan Kumamoto Masters.
Lebih merisaukan, Jun Hao turut gagal mengekalkan kedudukan dalam kelompok 20 terbaik dunia dan kini menghuni ranking ke-28 dunia menjelang pembukaan musim 2026.
“Bagi saya, tahun ini pencapaian dan prestasi saya agak kurang dan ia bukan disebabkan faktor keyakinan atau keletihan, sebaliknya konsistensi menjadi isu utama.
“Namun, pada akhirnya saya rasa keputusan tahun ini tidak berapa sampai kepada apa yang saya jangkakan,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.
Walaupun pernah menewaskan pemain kelompok 10 terbaik dunia pada peringkat awal beberapa kejohanan, bekas juara remaja Asia itu mengakui masalah konsistensi harian serta kecergasan kejohanan menjadi punca prestasinya merudum di pertengahan musim.
Statusnya sebagai pemain perseorangan lelaki No. 1 negara turut diakui hadir bersama tekanan tersendiri, namun Jun Hao berkata fokusnya kekal untuk mengawal tekanan itu sebaik mungkin.
“Tekanan itu memang ada tetapi saya buat yang terbaik untuk mengatasinya kerana penyokong sentiasa melihat apa yang saya lakukan,” katanya.
Dalam masa sama, Jun Hao mencapai sasaran peribadinya untuk menembusi kelompok 20 terbaik dunia pada September lalu, namun gagal mengekalkan momentum apabila prestasinya merudum di penghujung musim susulan beberapa penyingkiran awal dalam kejohanan antarabangsa.
Akibat kemerosotan itu, beliau kini menghuni ranking ke-28 dunia sekali gus menjadikan misi kebangkitan semula ke kelompok elit sebagai keutamaan menjelang musim 2026.
“Menembusi 20 terbaik dunia itu satu pencapaian untuk saya, namun sekarang kedudukan itu menurun dan saya perlu bangkit semula menjelang tahun depan,” katanya. – UTUSAN










