Gaza jadi lapang sasar uji senjata

Gaza jadi lapang sasar uji senjata

GAZA terus bergelumang dalam krisis kemanusiaan dengan puluhan ribu terkorban, serangan Israel berterusan, dan bantuan yang sangat terhad. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETAKAT 5 Disember lalu, sekurang-kurangnya 70,125 rakyat Palestin terbunuh dan 171,015 lagi cedera sejak pusingan terbaharu konflik Israel-Hamas meletus pada 7 Oktober 2023.

Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa sejak 10 Oktober lalu, jumlah kematian terus meningkat apabila Israel masih meneruskan serangan udara yang menyasarkan kedudukan Hamas.

Pihak berkuasa kesihatan di Gaza melaporkan, dalam tempoh 24 jam, hospital-hospital di Gaza menerima lapan lagi mayat, termasuk enam kematian baharu dan dua mayat yang ditemukan bawah runtuhan.

Sebenarnya, rejim Zionis menjadikan Gaza sebagai lapang sasar menguji senjata mereka yang kebanyakan diperoleh dari sekutu mereka, Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan selepas 7 Oktober lalu, kerajaan AS memulakan pemindahan sejumlah besar senjata ke Israel. Menjelang krismas ini, Israel bakal menerima lebih 10,00 tan senjata daripada 244 penerbangan kargo dan 20 kapal AS.

Ia meliputi lebih 15,000 bom dan 50,000 senjata artileri dalam tempoh tidak sampai sebulan setengah. Semua transaksi itu pula dilakukan secara rahsia untuk menghalang rakyat awam dan dikesan dan seterusnya dihalang oleh Kongres AS.

Terdapat pemindahan senjata dibuat daripada stok simpanan tentera AS yang memang sudah ditempatkan di Israel. Ia dikenali War Reserve Stock Allies-Israel (WRSa-I).

Israel yang sudah menceroboh dan menyerang Palestin sejak 1948, memperhebatkan serangan ke atas serangan kumpulan Hamas pada 7 Oktober 2023. Serangan Hamas itu mengorbankan kira-kira 1,200 nyawa dan menawan 251 orang sebagai tebusan.

Sebagai tindak balas, Israel melancarkan serangan ketenteraan besar-besaran ke atas Gaza. Sehingga kini meragut lebih 70,000 nyawa, mencederakan lebih 168,000 orang dan memaksa hampir dua juta penduduk Palestin meninggalkan rumah mereka.

Dalam tempoh dua tahun yang penuh kehancuran ini, Gaza menjadi wilayah yang hancur-lebur. Negara berdaulat itu ibarat padang jarak padang tekukur. Serangan berterusan Israel memusnahkan hospital, rumah dan infrastruktur asas.

Akses kepada makanan, air bersih dan ubat-ubatan terputus sepenuhnya, menyebabkan jutaan penduduk berdepan krisis kelangsungan hidup. Di utara Gaza, kebuluran telah diisytiharkan akibat langsung sekatan Israel yang menggunakan kelaparan sebagai senjata perang.

Kesan terhadap kesihatan amat dahsyat, bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga mental. Setelah dua tahun keganasan yang tidak berkesudahan, dunia kini menyaksikan apa yang digambarkan ramai sebagai satu bentuk genosid terhadap rakyat Palestin.

Banyak video yang kita saksikan bagaimana orang awam Gaza yang sedang mencari sumber makanan, minuman dan perlindungan menjadi mangsa serangan dari jauh puak zionis.

Penduduk Gaza tidak kira dewasa, wanita atau kanak-kanak semuanya jadi mangsa kerakusan dan tidak berperikemanusiaan tentera zionis.

Beberapa hari lalu, Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) mengeluarkan kenyataan tentang peningkatan pendapatan hasil jualan senjata terkini. Data menunjukkan pendapatan daripada jualan senjata dan perkhidmatan ketenteraan oleh 100 syarikat pengeluar terbesar dunia mencecah rekod AS$679 bilion (RM2.7 bilion) pada 2024.

SIPRI berkata, ia didorong perang di Gaza dan Ukraine, ketegangan geopolitik global dan serantau yang semakin meningkat selain perbelanjaan ketenteraan yang lebih tinggi. Situasi ini meningkatkan pendapatan syarikat-syarikat tersebut daripada jualan barangan dan perkhidmatan ketenteraan kepada pelanggan dalam dan luar negara sebanyak 5.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Peningkatan terbesar disumbangkan syarikat yang berpangkalan di Eropah dan AS dengan semua wilayah turut mencatat pertumbuhan tahun ke tahun.

Lockheed Martin, Northrop Grumman dan General Dynamics mengetuai senarai syarikat di AS, dengan pendapatan gabungan syarikat-syarikat senjata negara itu dalam 100 teratas meningkat 3.8 peratus kepada AS$334 bilion (RM1.4 bilion).

Inilah antara sebab, sesetengah negara dan kuasa besar ‘suka’ perang. Selain dapat menunjukkan kekuatan ketenteraan dan aset pertahanan, perniagaan senjata juga memberi pulangan lumayan.

Buat pertama kali, sembilan syarikat senjata dalam 100 teratas berpusat di Asia Barat. Sembilan syarikat itu mengumpulkan pendapatan gabungan AS$31 bilion (RM127.4 bilion) pada 2024, menunjukkan peningkatan serantau sebanyak 14 peratus.

Tiga syarikat senjata Israel dalam ranking itu meningkatkan pendapatan gabungan mereka sebanyak 16 peratus kepada AS$16.2 bilion (RM66.57 bilion) di tengah-tengah perang genosid di Gaza yang membunuh hampir 70,000 rakyat Palestin dan memusnahkan sebahagian besar wilayah terkepung itu.

Elbit Systems pula meraih keuntungan AS$6.28 bilion (RM25.80 bilion), diikuti Israel Aerospace Industries dengan AS$5.19 bilion (RM24 bilion), dan Rafael Advanced Defense Systems dengan AS$4.7 bilion (RM19.31 bilion).

Sedangkan jumlah bantuan kemanusiaan yang memasuki Semenanjung Gaza berada pada tahap kritikal dan jauh daripada mencukupi untuk menampung keperluan mendesak penduduk.

Purata harian kemasukan lori sejak beberapa minggu lalu hanya 287 buah, jauh lebih rendah berbanding keperluan minimum 1,000 buah sehari.

Selain itu, kemasukan misi bantuan ke Gaza juga berdepan kekangan birokrasi yang ketat dan tidak konsisten. Ini merencatkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza walaupun pelbagai lintasan sempadan dilaporkan telah beroperasi.

Situasi di lapangan menunjukkan operasi pintu masuk seperti Kerem Shalom, Zikim dan Kissufim masih tertakluk kepada kawalan keselamatan melampau, kuota harian dan gangguan operasi.

Misi pengambilan bantuan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kerem Shalom turut berdepan penafian akses walaupun bergerak di bawah mekanisme pemantauan antarabangsa.

Lintasan Rafah yang sebelum ini menjadi nadi utama, sering dikaitkan dengan syarat politik seperti isu tebusan. Ini ditambah dengan koridor keselamatan dan pemecahan Gaza kepada zon kawalan tentera, menyukarkan lagi penghantaran bantuan ke kawasan yang paling hancur, terutamanya di utara Gaza.

Dua resolusi yang diluluskan PBB di New York, 4 Disember lalu yang menegaskan semula tuntutan masyarakat antarabangsa agar Israel menamatkan pendudukan berlarutan di wilayah Palestin dan Dataran Golan di Syria, hanya sia-sia.

Dalam resolusi pertama bertajuk ‘Penyelesaian Secara Damai Persoalan Palestin’, Perhimpunan Agung PBB (UNGA) menerima pakai draf yang dikemukakan oleh Djibouti, Jordan, Mauritania, Qatar, Senegal dan Palestin.

Resolusi itu mengulangi tanggungjawab PBB terhadap isu Palestin, penamatan pendudukan sejak 1967 dan menegaskan kepentingan penyelesaian dua negara.

Dalam resolusi kedua, UNGA luluskan usul yang menegaskan pendudukan berterusan Israel di Dataran Golan Syria serta usaha de facto untuk menggabungkannya adalah ‘tidak sah’ dan menuntut pengunduran penuh ke garis sempadan yang ditetapkan pada 4 Jun 1967.

Selagi AS terus melindungi Israel, buatlah ratusan usul pun, ia tidak memberi kesan kepada Israel. Namun, paling tidak usahakan menghantar pasukan pengaman di bawah PBB untuk melindungi rakyat Palestin.-UTUSAN

MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×