MCA pernah menjadi pemain penting dalam struktur pemerintahan negara sejak era pembentukan Parti Perikatan dan kemudian Barisan Nasional (BN). Namun, kedudukan itu semakin mengecil saban pilihan raya.
Daripada sebuah parti yang pernah menjadi suara rasmi masyarakat Cina dalam kerajaan selama beberapa dekad, MCA kini berada dalam keadaan kritikal dengan kekuatan politik yang merosot secara konsisten.
Apabila meneliti keputusan pilihan raya sejak 2004 sehingga selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022, jelas kelihatan MCA hilang daya tarikan dalam kalangan pengundi Cina dan tidak lagi muncul sebagai parti yang mampu menawarkan kemenangan strategik dalam mana-mana koalisi.
Dengan PRU16 dijangka berlangsung pada 2027, isu penting kini ialah persoalan tentang hala tuju MCA, bentuk pilihan politik yang mereka ada dan sama ada parti itu masih mempunyai ruang untuk pulih atau sekadar menunggu masa lenyap seperti parti kecil lain.
KEJATUHAN KONSISTEN
Kebangkitan dan kejatuhan MCA dapat dilihat jelas melalui data pilihan raya. Pada PRU 2004, MCA memenangi 31 daripada 40 kerusi Parlimen yang ditandingi. Ini bermakna kadar kemenangan parti tersebut adalah sekitar 77 peratus, iaitu pencapaian tinggi dalam sejarah mereka.
Pada waktu itu MCA masih dilihat relevan dalam mewakili masyarakat Cina dan menjadi rakan politik penting kepada UMNO dalam BN.
Namun keputusan PRU 2008 memperlihatkan kejatuhan paling dramatik dalam sejarah politik parti tersebut. MCA jatuh kepada 15 kerusi Parlimen sahaja, iaitu penurunan hampir 52 peratus. Situasi ini terus merudum pada PRU 2013 apabila hanya memenangi tujuh kerusi Parlimen. Itu bermakna parti kehilangan kira-kira 77 peratus kerusi dalam tempoh dua pilihan raya.
Pada PRU 2018, keputusan lebih buruk apabila MCA hanya memperoleh satu kerusi Parlimen.
Selepas PRU15 pada 2022, MCA kekal dengan hanya dua kerusi Parlimen. Dalam tempoh kurang dua dekad, MCA berubah daripada parti dominan etnik kepada parti minoriti yang hanya menguasai sekitar satu peratus daripada bilangan kerusi Parlimen seluruh negara.
Data pilihan raya ini menunjukkan MCA bukan sahaja kehilangan sokongan akar umbi masyarakat Cina tetapi juga gagal meyakinkan pengundi campuran serta pengundi muda yang lebih kritikal terhadap politik komunal.
Kejatuhan sokongan terhadap parti ini tidak berlaku secara tiba tiba, sebaliknya melalui perubahan perlahan dalam politik masyarakat Cina. Antara sebab utama ialah peralihan pengundi Cina secara besar-besaran kepada DAP dan PKR.
Dalam PRU 2013, misalnya, pembangkang memenangi semua kerusi majoriti Cina di seluruh negara. Ini menandakan penolakan hampir keseluruhan terhadap MCA sebagai parti yang dilihat tidak lagi mencerminkan aspirasi politik generasi Cina bandar yang lebih progresif.
Pengundi Cina semakin menuntut dasar politik yang lebih berpaksikan merit, integriti, ketelusan dan keadilan antara kaum.
MCA yang kekal sebagai parti komunal dilihat tidak menyahut perubahan ini. MCA dianggap terlalu bergantung kepada UMNO dan terlalu berhati-hati sehingga gagal membawa isu reformasi secara tegas.
Pengundi Cina akhirnya beralih kepada parti yang lebih lantang dalam isu rasuah, pentadbiran baik dan kedudukan minoriti dalam negara.
Sokongan pengundi Cina terhadap MCA dalam PRU 2018 dianggarkan berada di bawah lima peratus menurut beberapa laporan analisis politik. Hakikat ini membuktikan sokongan masyarakat Cina beralih secara hampir sepenuhnya kepada Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP yang menjadi parti dominan dalam kawasan majoriti Cina.
KEDUDUKAN DALAM BN
Selepas PRU 2018 dan pembentukan Kerajaan Perpaduan pada 2022, kedudukan MCA dalam BN terus menjadi persoalan besar. BN bukan lagi koalisi dominan seperti dahulu.
UMNO sendiri mengalami penyusutan besar dalam jumlah kerusi. Dalam keadaan itu, MCA yang hanya mempunyai dua kerusi dilihat tidak mampu lagi memberikan nilai tambah yang signifikan dalam sebarang rundingan kerusi atau perbincangan dasar.
Sebahagian penganalisis berpendapat MCA kini hanya berperanan sebagai pelengkap simbolik kepada formula perkongsian kuasa antara kaum, bukannya pemain sebenar dalam landskap politik. Justeru timbul desakan dalam parti supaya MCA menilai semula masa hadapan terrmasuk cadangan menarik diri daripada koalisi itu.
Namun meninggalkan BN bukan keputusan mudah. Tanpa BN, MCA kehilangan jentera akar umbi, dana, struktur organisasi dan kekuatan sosial politik yang dinikmati sejak awal kemerdekaan. Ini menjadikan MCA parti yang hampir mustahil untuk bertahan sebagai entiti solo.
PN PILIHAN REALISTIK?
Apabila MCA menimbangkan kemungkinan menyertai Perikatan Nasional (PN), terdapat beberapa halangan besar yang sukar dilepaskan. Pas adalah parti terbesar dalam PN dan membawa agenda politik berasaskan agama dan identiti Melayu Islam yang tidak seiring dengan sentimen majoriti pengundi Cina bandar.
Masalah lain ialah kehadiran Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang sudah pun menjadi parti berasaskan kaum Cina dalam blok tersebut. Ini menimbulkan pertindihan fungsi dan perebutan kerusi antara dua parti yang mewakili komuniti sama.
MCA sukar menawarkan kekuatan kepada PN kerana parti itu tidak lagi mampu membawa undi Cina dalam jumlah yang bermakna.
Penyertaan MCA hanya menjadikan parti itu sebagai entiti kecil tanpa kuasa tawar-menawar yang signifikan. Pengundi Cina juga hampir pasti tidak akan menyokong MCA yang berada dalam blok politik yang dipimpin Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Langkah ini mungkin menambah kelangsungan hidup parti tetapi mengorbankan segala peluang pemulihan sokongan pengundi Cina.
PARTI SOLO
Pilihan MCA untuk berdiri sebagai parti bebas tidak membawa harapan besar. Parti seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) atau Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menunjukkan politik solo tanpa sokongan kaum majoriti hampir mustahil untuk mencapai kejayaan pilihan raya.
MCA tidak mempunyai kekuatan struktur akar umbi seperti Pas atau jentera Melayu luar bandar seperti UMNO. Sebagai parti bandar, MCA memang bergantung kepada undi Cina dan undi tersebut kini ‘berpindah ‘ke PH.
Ketiadaan asas ideologi yang jelas dan kekurangan personaliti politik yang berkarisma menjadikan MCA sukar bergerak sebagai parti yang boleh bersuara secara sendiri dalam gelanggang politik nasional.
PILIHAN REALISTIK
Sehingga kini terdapat tiga pilihan utama yang sering disebut penganalisis politik.
Pertama ialah kekal dalam BN sambil melakukan pembaharuan dalaman. Ini memberi MCA sokongan struktur tetapi tidak menjamin kebangkitan sokongan Cina.
Kedua ialah menyertai PN sebagai jalan pintas untuk kekal relevan walaupun peluang membawa undi Cina hampir sifar. Langkah ini lebih bersifat survival tetapi risiko kehilangan imej dalam kalangan pengundi Cina sangat besar.
Pilihan ketiga dan paling mencabar ialah melakukan transformasi penuh menjadi parti berbilang kaum dan berasaskan isu. MCA perlu keluar daripada imej lama sebagai parti komunal Cina dan bergerak sebagai parti moden yang memperjuangkan isu ekonomi bandar, mobiliti sosial, pendidikan tinggi, kesaksamaan peluang dan reformasi pentadbiran.
Transformasi ini memerlukan masa yang panjang dan perubahan budaya politik dalam parti.
Namun ini mungkin satu-satunya strategi yang membolehkan parti kembali menarik sokongan pengundi bandar, khususnya generasi muda yang menolak politik perkauman.-UTUSAN
PENULIS ialah pensyarah di Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).










