Sze Fei-Izzuddin perlu rakan sepelatih 'mencabar'

Sze Fei-Izzuddin perlu rakan sepelatih ‘mencabar’

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas legenda beregu kebangsaan, Datuk Razif Sidek menyifatkan kejatuhan prestasi pasangan beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berpunca daripada kurangnya cabaran dalam sesi latihan.

Beliau berkata, aspek fizikal dan ketahanan menjadi punca utama kelemahan mereka terutama ketika berdepan aksi sengit di hujung permainan.

“Secara taktikal mereka bagus, tetapi bila masuk bab penyudah, nampak kurang tajam.

“Itu datang daripada fizikal. Kalau latihan tak cukup mencabar, sukar nak kekalkan ketahanan dan fokus dalam perlawanan sebenar,” kata Razif kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, pasangan No. 4 dunia itu perlu berani keluar dari zon selesa dengan mencari rakan sepelatih yang mampu memberikan tekanan setara atau lebih tinggi daripada mereka sendiri.

“Sebagai pemain profesional, mereka seharusnya tahu adakah latihan hariannya mencukupi. Kalau asyik lawan rakan sepelatih yang sama tahap, prestasi akan statik dan mudah turun bila bertemu lawan elit dunia,” katanya.

Tambah Razif, disiplin dan ketekunan dalam latihan juga memainkan peranan penting bagi memastikan mereka kekal dalam kelompok terbaik dunia seperti musim lalu.

“Mereka bukan pemain muda lagi, jadi ini masa untuk jaga prestasi, bukan bereksperimen. Kalau sehari saja lalai dalam latihan, kesannya besar dan nak kejar (tahap maksimum)balik memang susah,” katanya.

Sze Fei-Izzuddin kini berdepan musim sukar apabila tersingkir awal di Terbuka Denmark dan Hylo selepas mara ke suku akhir Terbuka Perancis, sekali gus menjejaskan peluang ke Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China pada Disember ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×