Peluang kuartet 400 meter raih pingat

Peluang kuartet 400 meter raih pingat

Kuartet 400 meter negara yang dibarisi Muhammad Zamir Azman, Muhammad Zumar, Azlan Kuste dan Muhammad Shahrul Azmeer Azman layak ke acara akhir Sukan Deaflympics 2025 di Komazawa, semalam. - IHSAN MSDEAF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Kuartet 400 meter (m) negara yang dibarisi oleh Muhammad Zamir Azman, Muhammad Zumar, Azlan Kuste dan Muhammad Shahrul Azmeer Azman mencipta kejutan sensasi apabila layak ke acara akhir Sukan Deaflympics 2025 di Komazawa, semalam.

Beraksi dalam aksi pusingan pertama saringan kedua, kuartet negara menduduki tempat kelima dengan catatan 3 minit 33.94 saat (s) dan pada awalnya dikira gagal mara ke acara akhir.

Namun, peluang ‘kedua’ muncul apabila Amerika Syarikat (AS) dan Venezuela disingkirkan daripada saingan apabila pelari AS memulakan larian di luar zon pengambilalihan manakala Venezuela gagal melengkapkan pertukaran baton dalam zon sah.

Penyingkiran dua negara itu sekali gus membuka laluan automatik buat kontinjen Malaysia ke final dengan diberi slot tempat ketiga.

Shahrul berkata, dia dan rakan-rakannya akan memanfaatkan peluang itu sebaik mungkin untuk memburu sekurang-kurangnya podium pada acara akhir yang dijadual pada Isnin ini.

“Pertama sekali saya rasa sangat tidak percaya. Rasa macam tiba-tiba sahaja boleh layak masuk ke final disebabkan ada dua negara yang disqualified. Jadi memang kami rasa sangat bersyukur dan ini rezeki Tuhan beri kepada kami untuk beraksi di final,” kata Shahrul.

Dalam pada itu, Azlan menekankan mereka bukan sahaja mahu memburu podium pada acara 4x400m, malah turut berhasrat memecah rekod peribadi masing-masing sebagai sasaran peribadi.

“Untuk Isnin nanti, kami harap dapat membuat catatan masa terbaik. Kami akan fokus sepenuhnya dan dengan izin Tuhan serta kesihatan yang baik.

“Saya menganggarkan catatan masa sekitar 33:62s atau lebih baik. Kami akan buat yang terbaik kerana final memerlukan fokus penuh,” kata Azlan.

Untuk rekod, kali terakhir sukan olahraga menyumbang pingat kepada kontinjen Malaysia dalam Deaflympics adalah menerusi Zana Azizul Ujang yang meraih gangsa pada acara 110m lari berpagar lelaki pada edisi 2005 di Melbourne, Australia.

Zana merupakan pemenang pingat emas pertama negara dalam temasya itu pada edisi 2001 di Rom, Itali sejak penyertaan sulung Malaysia pada 1993 di Sofia, Hungary. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN