Mustahil Pei Kee sempat pulih - Rosman

Mustahil Pei Kee sempat pulih – Rosman

Kecederaan dialami Go Pei Kee (kanan) menjejaskan peluangnya untuk beraksi di Kejohanan Badminton Kumamoto Masters, Jepun pada 11 November ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak mengesahkan kecederaan yang dialami Go Pei Kee semakin serius dan menjejaskan peluangnya untuk beraksi di Kejohanan Badminton Kumamoto Masters, Jepun pada 11 November ini.

Menurut Rosman, pemain berusia 23 tahun itu mula mengalami kesakitan sejak minggu lalu dan keadaannya semakin teruk selepas aksi suku akhir di Terbuka Hylo di Jerman kelmarin.

“Ya, kecederaan minggu lalu, semalam (Khamis) dan hari ini tidak menunjukkan perkembangan positif. Kita cuba juga tadi namun pergerakan dalam gelanggang memang terganggu.

“Jadi kami mengambil keputusan untuk berhenti (menarik diri) sebab takut keadaan akan menjadi parah,” kata Rosman.

Menurut Rosman, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan risiko kecederaan lebih parah menjelang siri kejohanan penting yang lain terutamanya Kumamoto Masters (11-16 November) dan Terbuka Australia (18-23 November).

“Pei Kee sudah mengalami kecederaan sejak minggu lalu. Ianya semakin baik sehingga tiba di sini (Jerman). Namun permainan semalam (Khamis) kesakitan itu datang semula.

“Mereka cuba bertahan tetapi gagal. Nampak mustahil untuk dia pulih menjelang Kumamoto. Jadi dia (Pei Kee) akan pulang untuk jumpa doktor bagi tindakan lanjut,” katanya.

Kecederaan Pei Kee bermula pada awal minggu lalu menjelang Terbuka Perancis apabila beliau mengalami kecederaan terseliuh buku lali kiri ketika sesi latihan sekali gus terpaksa menarik diri kejohanan bertaraf Super 750 tersebut.

Kelmarin, beregu wanita No.22 dunia itu terpaksa menarik diri pada aksi suku akhir Terbuka Hylo pada pertengahan set kedua kepada pasangan Turkiye, Bengisu Ercetin-Nazlican Inci selepas Pei Kee gagal untuk meneruskan permainan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×