KOTA BHARU: Kelantan Red Warrior (KRW FC) berdepan tugas sukar dalam misi mengutip tiga mata penuh apabila kehilangan beberapa tonggak utama menjelang pertemuan dengan Manjung City FC pada aksi Liga A1 Semi Pro di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Wan Fajarulekram Wan Wan Mokhtar berkata, KRW FC tetap optimis mampu mengutip mata pada perlawanan tersebut dan akan memperatuhkan barisan terbaik berdepan dengan pasukan yang menduduki tangga ke-13 dalam carta liga ketika ini.
“Saya akui ketiadaan beberapa tonggak utama memberikan kesan kepada misi pasukan meraih tiga mata.
“Namun, saya yakin ketua jurulatih Irfan Bakti Abu Salim mempunyai strategi untuk bagi memastikan KRW tidak pulang dengan tangan kosong pada perlawanan itu nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Wan Fajarulekram memberitahu, KRW perlu menang pada perlawanan itu dalam usaha mencari kedudukan terbaik dalam saingan liga.
Katanya, berdepan Manjung City FC bukan lawan mudah, namun dia berharap pemain dapat turun dengan semangat juang tinggi untuk memastikan kemenangan menjadi milik KRW FC,
Wan Fajarulekram berkata, moral barisan pemain KRW itu berada pada tahap terbaik selepas berjaya merekodkan dua kemenangan besar dalam perlawanan sebelum ini.
Katanya, dia berharap barisan pemain kekal fokus dan mengikut setiap taktikal yang telah diterapkan oleh ketua jurulatih Irfan Bakti Abu Salim.
“Barisan pemain yang diberikan kepercayaan untuk beraksi pada perlawanan itu perlu memanfaatkan peluang terhidang dengan menterjemahkannya ke dalam bentuk jaringan.
“Jumlah jaringan itu bagi saya tidak penting, asalkan kita berjaya keluar sebagai pemenang pada perlawanan tersebut,”ujarnya.
Selepas mengharungi sembilan perlawanan, KRW menduduki tangga kesembilan dalam carta liga selepas mengumpul 13 mata. – UTUSAN










