Kita patut tabik pada Gurkha

Kita patut tabik pada Gurkha

MAJLIS pengurniaan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Kedutaan Malaysia di London pada 16 November 2023. Sumber - Facebook High Commission of Malaysia, London.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA menyebut Gurkha, kita mungkin teringat lelaki warga Nepal yang menjadi pengawal keselamatan atau jaga. Tanggapan ini tidaklah menghairankan kerana memang ramai orang Nepal menjadi pengawal keselamatan di negara kita.

Menurut Utusan Malaysia (29 November 2021), terdapat seramai 180,000 pengawal keselamatan di Malaysia dan sekitar 30,000 daripadanya orang Nepal. Lelaki Gurkha biasanya bertubuh saiz kecil tetapi sasa, berdisiplin tinggi, sangat berani dan setia.

Mungkin generasi muda tidak tahu sumbangan besar golongan Gurkha kepada Malaysia sejak 1948. Maka, mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa mereka menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) daripada kerajaan Malaysia.

Pada November 2021, saya terbaca berita majlis penganugerahan PJM kepada sekumpulan Gurkha di Kedutaan Malaysia di London. Foto penerima pada November 2023 pula dipaparkan di akaun Facebook rasmi kedutaan.

Stesen radio dalam talian, British Forces Broadcasting Service (BFBS Gurkha) pada 24 Disember 2024 membuat siaran khas tentang cara-cara veteran tentera Gurkha boleh memohon PJM.

Menurut kenyataan media Kementerian Pertahanan bertarikh 7 Mac 2023, pengurniaan PJM dilaksanakan mulai 3 Mac 2004. Ia bagi mengiktiraf anggota tentera atas semangat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan dalam usaha membebaskan Malaya (Malaysia) daripada ancaman pengganas Komunis (1948-1960) dan Konfrontasi dengan Indonesia (1963-1966).

Maka, wajarlah kita mengetahui serta menghargai penglibatan Gurkha dalam tempoh 1948 hingga1966 di negara kita, sehingga layak dikurniakan pingat berkenaan.

Gurkha menganggotai Tentera British sejak 1815, serta terlibat dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua. Maka, tidak hairanlah ada Memorial Gurkha di London bagi memperingati sumbangan dan pengorbanan mereka.

Rata-rata lelaki Gurkha ini berasal dari wilayah Gorkha, Nepal. Pada 1814, tentera Syarikat Hindia Timur British yang menjajah India terlibat dalam pertikaian sempadan. Khabarnya, tentera British yang terdiri daripada 30,000 orang tewas kepada 12,000 penduduk Nepal yang nekad mempertahankan tanah air.

Menurut cerita, Leftenan Frederick Young dijadikan tawanan selama setahun tetapi dilayan dengan amat baik. Dia kagum dengan semangat dan keberanian penduduk wilayah Gorkha.

Maka, apabila dibebaskan, leftenan itu menawarkan kepada lelaki Nepal peluang menyertai tentera British. Saya pernah terbaca, sejumlah 3,000 orang menerima tawaran itu, lalu lahirlah Regimen Tentera Gurkha.

Sekitar 200,000 tentera Gurkha mewakili British dalam Perang Dunia Pertama dan ramai yang terkorban. Dalam Perang Dunia Kedua, sekitar 250,000 tentera Gurkha dihantar ke Malaya, Afrika Selatan dan Eropah.

Hampir 33,000 orang dilaporkan terkorban di medan perang, manakala ramai lagi meninggal dunia akibat pelbagai penyakit di kem tahanan tentera Jepun.

Apabila Darurat diisytihar oleh penjajah British di Malaya (1948-1960) untuk membendung ancaman Komunis, tentera Gurkha dibawa untuk mempertahankan Malaya.

Pengalaman dan peristiwa bersejarah ini diabadikan dalam filem Nepal berjudul Gurkha Warrior arahan Milan Chams serta menampilkan bekas tentera Gurkha sebagai pelakon.

Penggambaran filem berdasarkan kisah benar dibuat di Nepal dan Malaysia, serta sangat berkait rapat dengan sejarah negara berdaulat kita. Malangnya, filem ini seolah-olah langsung tidak dipromosi di Malaysia.

Hal ini berbeza dengan Kerajaan Britain yang membina memorial khas di London. Patung tentera Gurkha di memorial itu dirasmikan Ratu Elizabeth II pada 3 Disember 1997. Mujurlah kerajaan kita menghargai veteran tentera Gurkha menerusi pengurniaan PJM sejak 2004.

Kisah berkaitan pengalaman sebenar dan perjuangan tentera Gurkha boleh dibaca dalam buku The Gurkhas: A True Story (2020) tulisan Tim I Gurung. Dia meminati bidang penulisan sejak kecil. Selepas menjadi tentera Gurkha selama 13 tahun, Tim bersara awal dan memulakan perniagaan di Hong Kong.

Pada usia 50 tahun, Tim menyedari betapa penting pengalaman bekas tentera Gurkha didokumentasi. Maka, dia memulakan misi mencari seramai mungkin veteran tentera terbabit di kawasan pedalaman Nepal dan mendokumentasi kisah mereka sebelum terlewat.

Antara individu yang sempat ditemui oleh Tim ialah Tahal Singh Rana yang berumur 100 tahun semasa diwawancara. Turut diwawancara ialah Karna Bahadur Rai (99) dan Indra Jit Wanem Limbu (92). Tim berjaya menemubual lebih daripada 90 bekas tentera Gurkha, khususnya yang pernah berkhidmat di Myanmar, Malaya dan Itali semasa Perang Dunia Kedua.

Menurut Tim, dia turut melawat hampir semua negara di mana tentera Gurkha pernah berkhidmat. Dia mengunjungi Brunei dan Britain, melawat Memorial Perang Kranji di Singapura, bertemu beberapa pegawai Kementerian Pertahanan di London, berbual dengan beberapa pakar sejarah di Malaysia dan Myanmar serta menghubungi ramai diplomat dan diaspora Nepal yang ada maklumat tentang tentera Gurkha.

Jeneral Peter Duffell terlibat dalam memimpin tentera Gurkha menentang gerila di Borneo pada 1960, kemudian memimpin briged itu di Hong Kong sehingga 1992. Beliau menulis buku Gurkha Odyssey: Campaigning for the Crown (2019) untuk mendokumentasi pengalaman peribadi serta pengalaman para tentera Gurkha.

Tidak salah menghormati tentera Gurkha sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan mereka mempertahankan kedaulatan negara dahulu.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN