PETALING JAYA: Peminat bola sepak tempatan dijangka perlu menunggu sehingga Selasa ini untuk mengetahui keputusan rayuan yang dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai isu pemalsuan dokumen tujuh pemain skuad Harimau Malaya.
Perkara itu dikongsikan kelab penyokong pasukan Velez Sarsfield iaitu ‘Sabado Velez’ yang juga kelab salah seorang daripada tujuh tonggak berkenaan iaitu Imanol Machuca.
Khamis lalu, Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bersidang di Miami, Amerika Syarikat iaitu salah satu ibu pejabat mereka di Amerika Utara.
Sekiranya semua proses berjalan lancar keputusan rayuan akan dikeluarkan oleh FIFA pada Khamis lalu, namun dengan perkongsian kelab penyokong Velez Sarsfield menyaksikan peminat di Malaysia perlu menunggu lebih lama lagi.
“Pada Khamis lalu, perbicaraan berlangsung di mana pihak pembelaan Imanol Machuca mengemukakan hujah mereka kepada FIFA.
“Notifikasi dengan keputusan muktamad dijangka dikeluarkan antara hari Isnin dan Selasa minggu hadapan. Pihak yang rapat dengan pemain Velez optimis semuanya akan berjalan dengan baik,” kata Sabado Velez di media sosialnya.
Pada hujung September lalu, FAM dan tujuh pemain babitkan Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces dan Rodrigo Holgado dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Rayuan berhubung isu itu sudah dikemukakan oleh FAM kepada FIFA dan keputusan rasmi dijangka diketahui dalam masa terdekat.
Jika gagal dalam proses rayuan itu, FAM dijangka membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi mendapatkan keadilan sewajarnya demi memastikan hak dan reputasi bola sepak negara terus dipertahankan. – UTUSAN










