Keberanian bermula dengan satu langkah

Keberanian bermula dengan satu langkah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM budaya sastera Jepun, terdapat sebuah kisah rakyat yang sangat terkenal kerana mesej penting yang dibawanya. Cerita ini mengisahkan tentang kekuatan semangat dan kehebatan seorang remaja yang dikenali sebagai Momotaro.

Ketika berusia sekitar 15 tahun, kampung Momotaro musnah akibat serangan kejam oleh seekor raksasa ganas. Namun dengan tekadnya untuk memerangi kezaliman, Momotaro menjejaki raksasa tersebut hingga ke Pulau Oniga, hanya bersama-sama tiga teman setianya iaitu seekor anjing, monyet dan ayam pegar.

Keberanian, kebijaksanaan dan semangat usaha memberikan kelebihan kepadanya sehingga berjaya mengalahkan raksasa tersebut.

Saya diberitahu tentang kisah Momotaro ini semasa berada di Okayama, Jepun beberapa minggu lalu. Cerita ini menarik perhatian saya kerana pengajaran daripada kisah ini begitu penting dan nilai itulah yang menjadikan kisah rakyat ini begitu besar maknanya kepada orang Jepun.

Karya sastera warisan mempunyai pengaruh yang sangat kuat dalam kehidupan sesebuah masyarakat. Kisah-kisah yang sering diceritakan secara lisan ini bukan sekadar hiburan kosong semata-mata. Ia diolah bagi menyampaikan pesanan dan teguran secara halus kepada pendengarnya.

Ibarat serampang dua mata, mesej tersirat diselitkan dalam sesebuah penceritaan sebagai alat hiburan. Lama kelamaan, mesej ini boleh mempengaruhi cara pemikiran dan nilai hidup pendengarnya.

Momotaro membawa banyak mesej penting yang perlu ditanam dalam diri setiap ahli masyarakat di mana-mana sahaja. Antaranya ialah bagaimana usaha yang bersungguh-sungguh tanpa berputus asa yang digabungkan dengan keyakinan dapat membuahkan hasil.

Momotaro tidak mempunyai adikuasa ajaib, senjata hebat atau askar untuk mengalahkan raksasa. Ia memberi gambaran kejayaan boleh menjadi milik semua orang asalkan mereka mahu mengorak langkah dan berani mencuba.

Cerita ini juga penting kerana ia memberi cetusan semangat kepada anak muda, apabila Momotaro diangkat sebagai wira kerana keberaniannya dan tidak dipandang rendah kerana usianya.

Hal ini menunjukkan sikap masyarakat yang matang, di mana mereka tidak menganggap umur sebagai faktor untuk menilai buah fikiran seseorang.

Sikap terbuka inilah yang menggalakkan percambahan idea serta mendorong anak muda untuk keluar mengatur langkah dan berfikir secara matang.

Menariknya, watak Momotaro ini mempunyai beberapa persamaan dengan watak Hang Nadim dalam kisah rakyat tersohor di alam Melayu di mana kedua-duanya mengisahkan tentang watak kanak-kanak yang menjadi wira.

Namun, suasana yang melatari cerita-cerita ini amatlah berbeza, meskipun Momotaro dan Hang Nadim kedua-duanya berjaya menyelamatkan kampung mereka daripada ancaman dahsyat.

Amat malang sekali bagi Hang Nadim, madu yang diberikan dibalas dengan tuba apabila para pembesar merasa tergugat dengan kepintaran dan pengaruhnya, lantas menghasut agar Hang Nadim dibunuh.

Adakah cerita ini ingin mengajar tentang kesan buruk perasaan hasad dengki manusia? Atau adakah ia satu isyarat kanak-kanak tidak patut mencampuri urusan orang dewasa?

Kita semua tahu kanak-kanak berfikir berdasarkan apa yang tersurat. Maka bayangkanlah apa yang mereka fikirkan apabila watak Hang Nadim yang sebaya mereka menghadapi nasib sebegitu.

Kita mahu kanak-kanak membesar dengan pengaruh nilai yang baik dan betul, bersemangat dan berani mengemukakan idea serta berfikiran kritis, bukannya malas berfikir dan takut untuk ke hadapan.

Mereka harus digalakkan mengambil langkah-langkah kecil untuk menyelesaikan masalah dan bukannya sekadar merungut.

Semasa Persidangan Pusat Kepakaran Serantau (RCE) Dunia ke-14 yang saya hadiri di Okayama baru-baru ini, cerita Momotaro ini dikisahkan oleh rakan saya dari Korea, Woojin Lee.

Beliau yang merupakan salah satu Penyelaras Belia RCE bagi rantau Asia-Pasifik bersama-sama saya, menyifatkan kisah tersebut sebagai pengajaran dan semangat yang boleh diambil dalam usaha pemerkasaan belia dalam kalangan gerakan dunia.

Walaupun Woojin berasal dan membesar di Korea, beliau sentiasa kagum dengan watak wira rakyat budaya Jepun itu sejak kecil. Hal itu yang menjadi pembakar semangatnya untuk mengambil langkah-langkah kecil yang membawanya ke pentas dunia hari ini.

 

ANAK muda perlu berani mencuba sesuatu yang baharu, manakala masyarakat pula harus lebih terbuka menggalakkan dan menerima idea mereka agar potensi generasi baharu tidak terhalang.

 

BERANI MENCUBA

Saya juga memahami dan merasakan perkara yang sama tentang pengalaman ketika kecil. Keputusan untuk mengambil langkah kecil dengan menulis di laman blog peribadi seawal usia lima tahun membawa saya ke alam penulisan, sehinggalah boleh menulis di Utusan Malaysia sejak 2019.

Ekoran daripada keberanian mencuba sesuatu yang baharu, pelbagai peluang lain terbuka termasuklah hingga menjadi Penyelaras Belia RCE Asia-Pasifik bersama-sama Woojin. Malah, saya juga terlibat dalam pelbagai persidangan antarabangsa di luar negara sejak 2023. Semuanya bermula hanya kerana langkah kecil ketika berusia muda.

Namun langkah-langkah ini juga tidak dapat diterjemahkan kepada kejayaan jika orang-orang dewasa di sekeliling saya tidak memberi kepercayaan dan sokongan sejak awal. Bermula daripada ibu bapa yang memberi peluang dan galakan, selangkah demi selangkah saya dibantu oleh orang lain untuk mara ke hadapan.

Walaupun begitu, saya tetap sering menghadapi masalah dan tentangan daripada orang lain yang merasakan orang muda tidak patut bersuara. Baru sahaja beberapa minggu lepas saya ditegur kerana selalu bertanya soalan di sebuah siri syarahan.

Katanya kononnya jika saya bertanya soalan pada setiap siri program, maka saya tidak menghormati pensyarah kerana hanya mereka yang boleh bersuara semasa program.

Begitulah sikap masyarakat kita yang selalu merasakan anak-anak muda hanya perlu diam dan menurut kata orang lain selain tidak patut dibenarkan untuk menyuarakan pendapat. Pada masa yang sama kita juga marah apabila mereka tidak boleh berfikir secara kritis.

Pelajarilah daripada sirah nabawi di mana Saidina Ali sejak masih kanak-kanak lagi diberi ruang untuk bersuara dan terlibat dalam urusan besar oleh Rasulullah SAW. Jika kita mendiamkan anak-anak kita, jangan hairanlah generasi ini semakin lama semakin gelap.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN