SEJARAH konflik Palestin-Israel yang bermula sejak 1948 masih berlarutan hingga kini, meninggalkan penderitaan mendalam kepada rakyat Palestin, khususnya wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa utama serangan.
Di sebalik trauma, kelaparan dan kekurangan asas kehidupan, Gaza terus berjuang untuk hidup dan berharap. Gencatan senjata yang diuar-uar sering hanyalah tipu daya, diganti serangan baharu yang menelan nyawa orang awam.
Menyedari hakikat itu, anggota delegasi Malaysia dalam Misi Sumud Flotilla, DR. FAUZIAH MOHD. HASSAN menyeru rakyat agar terus bersolidariti melalui tekanan antarabangsa, boikot dan advokasi bagi menghentikan kekejaman Zionis.
Ketika wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan INTAN SUHANA CHE OMAR, pakar perubatan obstetrik dan ginekologi (O&G) itu juga mahu tindakan kolektif yang berterusan kerana usaha ini penting untuk menukar duka menjadi harapan penduduk di sana.
Wawancara ini turut disertai jurufoto, FARIZ RUSADIO dan juruvideo, ZUID SAMSON.
UTUSAN: Bagaimana timbul niat untuk menyertai misi kemanusian di Gaza sedangkan mengetahui situasi sebenar dan risiko yang perlu dihadapi?
DR. FAUZIAH: Kalau kita tengok, sumpah seorang doktor adalah untuk membantu manusia tanpa mengira bangsa, agama atau warna kulit. Saya pula memang memberi tumpuan kepada kesejahteraan wanita dari dalam rahim hinggalah ke liang lahad.
Bila kita lihat bencana atau krisis kemanusiaan seperti di Gaza, sekitar 70 hingga 80 peratus yang terkesan ialah wanita dan kanak-kanak. Jadi, secara semula jadi, fokus kami tertumpu kepada mereka.
Apakah cabaran utama yang dihadapi oleh wanita di Gaza kini?
Kebanyakan lelaki di Gaza sama ada ditawan, syahid atau terpaksa menyertai perjuangan membela negara. Jadi, ramai wanita yang tiba-tiba menjadi ketua keluarga tunggal mereka perlu mencari nafkah sambil menjaga anak-anak sendiri dan juga anak-anak yatim.
Sekarang terdapat lebih 40,000 anak yatim di Gaza, dan kebanyakan mereka dijaga oleh wanita atau ibu angkat yang turut berdepan kesempitan hidup. Dari realiti inilah tertubuhnya Rose2Rose (R2R) di bawah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE).
Boleh terangkan tentang bagaimana Rose2Rose membantu golongan yang memerlukan melalui program Home of Hope and Love?
Kita tidak mahu menubuhkan rumah anak yatim seperti yang biasa kerana itu bukan budaya masyarakat di sana. Apabila anak-anak dijaga secara berpusat, mereka menjadi institutionalised (terkondisi secara institusi) dan kehilangan rasa kekeluargaan.
Jadi, pendekatan kami ialah penjagaan berasaskan keluarga (home-based care). Ibu-ibu angkat mengambil anak yatim untuk dijaga dalam rumah sendiri, diberikan kasih sayang dan perhatian seperti anak kandung. Program ini benar-benar memberi harapan kepada anak-anak dan kasih serta sayang daripada ibu-ibu angkat.
Kita memberikan bantuan bulanan sebanyak AS$50 (lebih kurang RM230) kepada setiap ibu angkat sebagai penghargaan atas tanggungjawab menjaga anak-anak yatim. Dana ini bukan untuk perbelanjaan anak tetapi sebagai ‘gaji’ ibu tersebut kerana menjaga mereka siang dan malam. Ini penting supaya mereka dapat terus menunaikan amanah dengan stabil dari segi kewangan.
Adakah program ini melibatkan pembangunan kemahiran juga?
Ya, itu sebahagian daripada rancangan jangka panjang kami. Kami mahu wujudkan pusat wanita di Gaza untuk melatih ibu-ibu ini dengan pelbagai kemahiran menjana pendapatan, seperti menjahit, menjaga anak-anak istimewa atau mengurus rumah tangga.
Prinsip Rose2Rose mudah, kita bukan hanya beri umpan tapi juga beri jaring supaya mereka boleh ‘menangkap ikan’ sendiri dan berdikari.
Berapa ramai penerima manfaat setakat ini dan apa sasaran masa hadapan?
Sekarang kita mampu bantu sekitar 50 keluarga angkat, sebab dana masih terhad. Tapi sasaran kita jauh lebih besar dengan 40,000 anak yatim di Gaza. Semakin banyak sumbangan diterima, semakin ramai yang dapat dibantu.
Saya berharap rakyat Malaysia terus prihatin dan menyumbang, bukan sekadar dari segi kewangan tetapi juga kesedaran. Home of Hope and Love bukan hanya tentang bantuan tetapi tentang mengembalikan nilai kemanusiaan untuk memastikan setiap anak yatim masih dapat merasai kasih, pelukan dan harapan seperti anak-anak lain di dunia.
Dahulu agak sukar untuk menarik perhatian umum terhadap isu kemanusiaan. Bagaimana keadaan itu berubah sekarang?
Betul. Kalau dulu, bila kita ingin buat evokasi atau hebahan, contohnya melalui seminar, persidangan atau kempen memang penat. Kadang-kadang yang hadir pun 500 orang sahaja tetapi sekarang, dengan adanya media sosial, alhamdulillah, penyebaran berita jauh lebih cepat dan meluas.
Walaupun pihak Zionis menyekat wartawan antarabangsa daripada masuk ke Gaza dan Palestin untuk melaporkan keadaan sebenar, namun berita tetap sampai kepada dunia kerana media sosial membolehkan maklumat disebar secara langsung dan tanpa tapisan.
Maksudnya, media sosial mengubah pandangan masyarakat dunia?
Ya, sangat ketara. Dulu berita disunting dan dikawal, istilah seperti genosid pun jarang digunakan. Sekarang, berita itu sampai terus, tanpa suntingan. Orang di seluruh dunia dapat melihat dan merasai sendiri apa yang berlaku di Gaza. Itulah mungkin hikmah di sebalik semua ini.
Saya sendiri pernah ke Otranto, sebuah bandar kecil di Itali dan di sana pun sokongan terhadap perjuangan Palestin sangat padu. Ini menunjukkan Allah ada cara-Nya untuk menyampaikan mesej perjuangan ini.
Kita dulu berjuang bertahun-tahun dengan capaian kecil tetapi melalui perubahan teknologi dan siaran langsung, kesedaran masyarakat meningkat dengan cepat.
Boleh Dr. kongsikan strategi keselamatan yang digunakan semasa berada di atas kapal, khususnya apabila berdepan dengan tentera Israel?
Di atas kapal, kami tidak mengumumkan yang kami suami isteri, hanya orang Malaysia yang tahu. Itu sebahagian daripada strategi keselamatan. Kalau berlaku sesuatu, kami dah bersepakat yang masing-masing perlu bertenang dan tidak bertindak balas.
Kami juga dilatih untuk menggunakan pendekatan tanpa kekerasan dan dalam pasukan kami ada kumpulan yang dipanggil de-escalators. Kita ada barisan wanita yang lembut tetapi tegas. Kalau tentera Israel cuba mencetuskan kekerasan, wanita-wanita inilah yang akan tampil menenangkan keadaan. Mereka kelihatan rapuh tetapi sebenarnya sangat kuat.
Jadi, pendekatan itu memang dirancang dari awal?
Ya, betul. Kami sudah bincang semua kemungkinan. Kalau apa-apa berlaku pada saya, pasangan saya diam. Kalau berlaku pada dia, saya diam. Prinsipnya jelas jangan balas dengan kekerasan. Kami hanya beritahu yang kami suami isteri selepas semua selamat dan berada dalam kapal terbang.
KUASA VETO
Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kurang berkesan kerana terlalu dipengaruhi kuasa besar. Apa pendapat Dr.?
Betul, ada orang berpendapat begitu. Saya rasa PBB memang perlu overhaul (dirombak) kerana sistem sedia ada sudah lama dan tidak adil. Contohnya, sistem kuasa veto membolehkan satu negara besar menghalang keputusan penting, termasuk resolusi gencatan senjata.
Adakah ada usaha untuk memperbaiki sistem kuasa veto ini?
Pernah. Dulu saya berjumpa wakil PBB di Kuala Lumpur dan mencadangkan perubahan sistem kuasa veto, mungkin supaya kuasa itu dikongsi antara dua hingga tiga negara, bukan hanya satu negara. Mereka sedang mengkaji cadangan itu.
Bagaimana pula dengan klausa lain dalam Majlis Keselamatan PBB?
Sebenarnya, Majlis Keselamatan PBB ada satu lagi klausa yang membolehkan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) mengaktifkan tindakan kolektif. Klausa ini memberi kuasa kepada negara-negara untuk bertindak bersama tetapi sehingga kini, ia belum diaktifkan.
Jadi, adakah klausa itu tidak digunakan?
Ya, tidak diaktifkan lagi. Peluang ada tetapi PBB masih belum mengambil tindakan, belum dimanfaatkan sepenuhnya.
USAHA MALAYSIA
Baru-baru ini semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan secara peribadi kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenai isu di Gaza. Bolehkah usaha diplomatik sebegitu membantu mengembalikan kawalan kepada Palestin?
Semua saluran perlu digunakan, dari netizen sehingga ke pemimpin dunia. Netizen buat gerakan mereka, pemimpin buat secara diplomatik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat pula jalankan tekanan di peringkat masyarakat. Tiada satu jalan tunggal, jadi gunakan semua cara yang ada.
Bagaimana Dr. melihat Israel ketika ini, khususnya berkaitan tindakan mereka terhadap Gaza?
Saya melihat Israel berada dalam keadaan yang semakin memakan diri sendiri. Banyak tindakan mereka terhadap Gaza, termasuk serangan berterusan dan penindasan terhadap rakyat Palestin, sebenarnya memberi kesan buruk kepada kedudukan mereka sendiri.
Setiap langkah yang diambil sering memantul kembali dan menimbulkan tekanan, baik dari segi diplomatik, ekonomi, mahupun imej antarabangsa.
Jika tekanan global, boikot dan isolasi ekonomi diperkuatkan, mereka mungkin akan semakin lemah dari dalam, sama seperti kes Afrika Selatan dahulu, di mana tekanan global akhirnya membawa perubahan politik.
Jadi, strategi apa yang disarankan?
Isolasi ekonomi melalui boikot dan divestment (tarik pelaburan). Kesan ekonomi memberi impak nyata kerana negara-negara dan syarikat bergantung pada wang. Tekanan ekonomi yang fokus boleh memaksa perubahan, seperti contoh sejarah embargo minyak yang pernah memberi kesan besar kepada kuasa besar.
Apakah rancangan seterusnya untuk aksi solidariti seperti flotilla?
Kami dalam perancangan dan sebagai anggota jawatankuasa pemandu (steering committee) Misi Freedom Flotilla Coalition (FFC), kami membincangkan kemungkinan flotilla seterusnya.
Kalau ada peluang, kami galakkan penglibatan generasi muda untuk pengalaman dan pembelajaran. Kita tidak gentar kerana sahabat rakan masih terperangkap di sana, jadi usaha mesti berterusan.
Tolong jangan henti boikot produk berkaitan Israel demi solidariti
BOIKOT
Dr. jika dilihat kempen boikot seolah semakin reda selepas beberapa siri gencatan senjata. Masih perlukah kempen boikot terhadap syarikat-syarikat tertentu ketika ini?
Ya, please (tolong), boikot ini sangat penting dan perlu diteruskan. Ramai yang kata tidak perlu sebab kononnya ia menjejaskan pekerja Islam yang bekerja di francais tertentu tetapi perlu faham, kesan paling besar terhadap rejim Zionis adalah pada aspek ekonomi dan di situlah kekuatan boikot.
Kita sudah melihat banyak syarikat antarabangsa mula divest, maksudnya mereka tidak menutup operasi tetapi menarik pelaburan daripada Israel. Bila ini berlaku, Israel kehilangan sumber kewangan dan pelaburan asing. Jadi, secara tidak langsung, boikot memberi tekanan ekonomi yang sangat berkesan.
Jika kita lihat boikot nampak macam semakin reda, ramai orang mula kembali membeli, mungkin sebab mereka ingat isu ini sudah ‘selesai’ sedangkan hakikatnya tidak. Selagi penjajahan Israel terhadap Palestin masih berlaku, selagi itulah kita perlu teruskan boikot, bersuara dan memberi sokongan kepada rakyat Palestin.
Sekarang ini, perhatian dunia banyak beralih ke Tebing Barat. Kawasan yang dulu tinggal 20 peratus sahaja tanah Palestin, kini rejim Israel sudah umumkan di Knesset (parlimen mereka) bahawa akan ambil 100 peratus kawasan itu.
Kalau kita terus berdiam diri, mereka akan terus merampas tanah dan mungkin juga Masjid Al-Aqsa. Sebab itu kita tidak boleh berhenti separuh jalan. Perjuangan ini mesti diteruskan secara konsisten, berprinsip dan tanpa putus asa.
Apakah rasional di sebalik strategi boikot dan pengasingan ekonomi?
Matlamatnya meruntuhkan kekuatan ekonomi musuh supaya tindakan mereka ‘makan diri’. Boikot yang berfokus dan tekanan pelaburan sudah tunjukkan kesan. Syarikat menarik pelaburan dan itu menjejaskan kemampuan ekonomi.
Sejarah pernah tunjukkan kuasa ekonomi, contohnya embargo minyak zaman Raja Faisal mampu memaksa perubahan sikap negara besar.-UTUSAN










