ROM: Kemarahan di Maranello memuncak apabila Pengerusi Ferrari, John Elkann, mengarahkan Lewis Hamilton dan Charles Leclerc kurang bercakap dan tumpu memandu selepas bencana berganda di Grand Prix (GP) Sao Paulo di Brazil.
Ferrari yang semakin hilang arah musim ini terus dirundung malang di Interlagos apabila kedua-dua pelumba gagal menamatkan perlumbaan, menyebabkan kedudukan mereka merosot ke tangga keempat kejuaraan konstruktor.
Leclerc terpaksa mengucap selamat tinggal awal selepas jentera SF-25 miliknya rosak teruk akibat pelanggaran rantai melibatkan Kimi Antonelli dan Oscar Piastri.
Hamilton pula tidak ke mana, tersingkir di Q2 dan kemudiannya terpaksa bersara seawal pusingan pertama akibat kerosakan besar pada lantai keretanya.
“Ferrari menang apabila kami bersatu, dan keputusan dalam WEC sudah membuktikannya. Apabila semua bekerja sebagai satu pasukan, kejayaan pasti tiba. Brazil adalah tamparan besar buat kami.
“Kami ada mekanik yang pantas, jurutera yang komited, tetapi bahagian lain belum cukup. Pemandu perlu fokus kepada pemanduan, kurang bercakap, dan sedar masih ada perlumbaan penting di depan. Tempat kedua bukan mustahil,” kata Elkan.
Nada keras Elkann itu jelas memberi isyarat bahawa kesabaran pihak atasan semakin menipis terhadap prestasi dua bintang besar yang gagal memenuhi jangkaan tinggi musim ini.
Dengan Leclerc hanya mengutip tujuh podium dan Hamilton masih kempunan pentas tiga terbaik, musim 2025 semakin menampakkan wajahnya sebagai musim paling muram Ferrari sejak dekad lalu. – AGENSI/UTUSAN










