FIFA perlu masa teliti kes Malaysia?

FIFA perlu masa teliti kes Malaysia?

FIFA - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbul persoalan adakah ‘bukti kukuh’ yang dilampirkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menyebabkan Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memerlukan masa untuk membuat keputusan?

Itu yang menjadi persoalan selepas keputusan rayuan FAM terhadap hukuman membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya masih belum dikeluarkan, biarpun Jawatankuasa Rayuan FIFA telah bermesyuarat Khamis (30 Oktober) lalu.

Bagaimanapun, peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli menepis spekulasi bukti kukuh itu dan menganggap FIFA memerlukan masa untuk meneliti fakta dan undang-undang yang termaktub dalam kes berkenaan.

Dalam masa yang sama katanya, Jawatankuasa Rayuan FIFA juga pasti sibuk dengan isu lain yang tiada kaitan dengan rayuan FAM, sekali gus menyebabkan keputusan membabitkan tujuh pemain warisan Malaysia belum diputuskan.

“Mereka (Jawatankuasa Rayuan FIFA) juga memerlukan masa untuk menulis keputusan dengan teliti. Kelewatan ini tidak memberi gambaran peluang FAM dan kebolehan peguam” katanya kepada Mingguan Malaysia bagi mengulas situasi semasa rayuan FAM.

Sebelum ini, peguam yang mewakili FAM dalam kes ini, Serge Vittoz, memaklumkan bahawa keputusan rasmi dijangka diumumkan seawal 30 Oktober 2025, selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA selesai bersidang.

“Kami diberitahu pada hari ini (17 Oktober) bahawa keputusan rasmi akan dikeluarkan pada 30 Oktober 2025 oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA. Kemungkinan besar ia akan dimaklumkan kepada pihak-pihak berkaitan pada hari yang sama atau beberapa hari selepas itu,” kata Vittoz.

Namun, penantian peminat bola sepak tempatan sejak Khamis lalu berakhir hampa apabila FIFA tidak memuat naik sebarang kenyataan di laman sesawang rasminya mengenai keputusan rayuan berkenaan.

Sehingga semalam, tiada makluman terkini diterbitkan di laman web FIFA, sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak tempatan mengenai nasib tujuh pemain warisan negara itu.

Sekiranya keputusan tidak memihak kepada Malaysia, FAM dijangka membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi mendapatkan keadilan sewajarnya demi memastikan hak dan reputasi bola sepak negara terus dipertahankan.

Sementara itu, sumber memaklumkan kepada Mingguan Malaysia bahawa semua tujuh pemain warisan telah dipanggil oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA untuk melengkapkan siasatan badan induk bola sepak dunia itu.

“Saya difahamkan, tujuh pemain itu dipanggil untuk memberi keterangan. Itu antara prosedur, mungkin sebab itu keputusan lambat dikeluarkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN