LONDON: Tiada jaminan untuk Jude Bellingham berada dalam kesebelasan England pada saingan Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Sebaliknya, pengendali The Three Lions, Thomas Tuchel menegaskan, pemain Real Madrid itu perlu mempamerkan kualiti untuk bersaing secara sihat dengan barisan pemain lain.
Bellingham kembali menyertai skuad bimbingan Tuchel bagi dua perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia menentang Serbia dan Albania pada minggu ini, selepas diketepikan daripada skuad antarabangsa, bulan lalu.
Pemain berusia 22 tahun itu baru pulih daripada pembedahan bahu ketika Tuchel memilih untuk tidak memanggilnya bagi aksi menentang Wales dan Latvia bulan lalu sekali gus membuka peluang buat pemain lain.
Ketiadaan Bellingham ketika itu membuka peluang kepada Morgan Rogers, menyerlah di posisi nombor 10 bersama skuad England dan prestasi cemerlang pemain Aston Villa itu membuatkan Tuchel dalam dilema
“Daripada mencari posisi untuk semua pemain terbaik semata-mata bagi membolehkan mereka berada di atas padang, mungkin lebih baik meletakkan setiap pemain di posisi terbaik mereka dan biarkan ada persaingan.
“Ketika ini persaingan adalah antara mereka berdua. Mereka berkawan, jadi ia satu persaingan yang sihat. Mereka tidak perlu bermusuhan atau saling membenci. Mereka saling menghormati dan bersaing untuk posisi sama.
“Bolehkah mereka bermain bersama? Ya, tetapi dalam struktur berbeza dan sekarang bukan masa untuk mengubah struktur pasukan,” kata Tuchel.
Tuchel yang turut memanggil semula Phil Foden selepas tiga kali tidak disenaraikan, menegaskan, Bellingham dan pemain Manchester City itu gembira dapat kembali bersama skuad.
Namun, beliau menekankan prestasi mantap England tanpa kedua-dua pemain itu membuktikan mereka tidak dijamin tempat automatik dalam kesebelasan utama. – AGENSI/UTUSAN










