MUNICH: Bayern Munich bakal berdepan ujian sebenar apabila menentang juara bertahan Paris Saint-Germain (PSG) pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi esok, perlawanan yang bakal menentukan sejauh mana kedudukan mereka dalam kalangan pasukan elit Eropah musim ini.
Kelab gergasi Bavaria itu, memulakan kempen dengan rekod sempurna iaitu 15 kemenangan daripada 15 perlawanan dalam semua pertandingan sekali gus mencipta rekod baharu sebagai permulaan terbaik musim dalam sejarah lima liga utama Eropah.
Permulaan luar biasa itu menambah keyakinan buat Bayern untuk kembali merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara, namun pertemuan di laman Paris akan menjadi kayu ukur sebenar kehebatan mereka.
Rekod dipahat Bayern berjaya memadam pencapaian lama AC Milan yang mencatatkan permulaan terbaik pada musim 1992-93.
Sepanjang 15 perlawanan itu, Bayern hanya ketinggalan selama lima minit iaitu ketika kemenangan 4-1 ke atas Cologne dalam saingan Piala Jerman minggu lalu.
Dalam liga domestik, mereka menewaskan semua pasukan yang menghuni tangga kedua hingga kelima selain menumpaskan juara Piala Dunia Kelab, Chelsea.
“Tentu sekali ia rekod yang baik tetapi PSG akan menjadi cabaran besar untuk kami. Semua pemain akan berusaha dan bekerja keras untuk terus memberi yang terbaik buat penyokong Bayern.
“Tentu sekali kami turun ke Paris untuk menang dan semua pemain berada dalam keadaan yang baik,” kata pengendali Bayern, Vincent Kompany.
Selepas menamatkan penantian trofi musim lalu menerusi kejuaraan Bundesliga, Harry Kane kini berada di tahap lebih tinggi dengan persembahan luar biasa.
Kane sudah meledak 22 gol dalam 15 perlawanan bagi semua pertandingan, malah pengaruhnya dari segi kreativiti turut penting ketika ketiadaan Jamal Musiala yang berehat selama enam bulan kerana cedera. – AGENSI/UTUSAN










