APEC 2025 redakan ketegangan AS–China, buka peluang baharu untuk Malaysia

APEC 2025 redakan ketegangan AS–China, buka peluang baharu untuk Malaysia

PERTEMUAN antara Donald Trump dan Xi Jinping membantu meredakan ketegangan sekali gus memberikan sentimen positif kepada pertumbuhan ekonomi global dan serantau.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTARA tumpuan utama Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Korea Selatan yang baru sahaja berakhir perkembangan di luar persidangan itu, khususnya pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan juga Presiden China, Xi Jinping.

Ini adalah pertemuan dua hala mereka buat kali pertama sejak tahun 2019. 

Apa yang berlaku selepas pertemuan itu boleh diibaratkan seperti menendang tin kosong di jalanan (kicking the can down the road), kerana tiada perkara substantif yang dapat dipersetujui bersama. Isu utama, iaitu bekalan mineral nadir bumi, juga masih belum mencapai keputusan yang tuntas dan komprehensif daripada kedua-dua pihak.

Namun begitu, tidak dinafikan pertemuan ini adalah satu permulaan yang baik dan diharapkan akan ada lagi perjumpaan-perjumpaan susulan di masa akan datang. 

Hasil pertemuan ini turut membantu meredakan ketegangan antara kedua-dua pihak, sekali gus memberikan sentimen positif kepada pasaran, meningkatkan keyakinan pelabur serta memperkukuh prospek pertumbuhan ekonomi global dan serantau, walaupun hanya untuk sementara waktu. 

Namun yang lebih penting, pertemuan ini memberi isyarat jelas bahawa perang dagang berkenaan, jika dibiarkan berlarutan tanpa kawalan, tidak akan membawa manfaat kepada mana-mana pihak.

Secara umumnya, Trump bersetuju mengurangkan tarif ke atas China dan ancaman yang dibuat oleh Presiden AS itu  baru-baru ini untuk mengenakan tambahan 100 peratus tarif ke atas barangan import dari negara tembok besar berkenaan tidak berlaku. 

Sebagai timbal balas, China pula bersetuju untuk membeli produk soya dan juga produk pertanian daripada AS. Lebih penting adalah persetujuan China untuk menunda selama setahun sekatan eksport nadir bumi yang diputuskan pada Oktober lalu. Jika diteruskan (sekatan eksport nadir bumi) dijangka akan mengakibatkan kesan negatif berantai kepada pemain industri global dan juga rantaian bekalan global itu sendiri.

Hakikatnya, China melombong sekitar 70 peratus nadir bumi dunia dan membekalkan 90 peratus pemprosesan kimia kepada dunia. 

China juga sebenarnya memonopoli satu jenis logam nadir bumi yang dipanggil samarium, yang khas digunakan untuk ketenteraan.

China juga adalah satu-satunya negara yang mempunyai kepakaran dalam menapis ultrapure dysprosium, yang diperlukan oleh seluruh dunia. Ia juga dikenali sebagai superfast chips dalam rantaian bekalan global.

Memandangkan pelbagai produk masa kini termasuk kereta, pusat data, barangan harian serta peralatan ketenteraan  bergantung kepada penggunaan mineral atau logam nadir bumi, sekatan eksport yang bakal dikenakan China terhadap AS dijangka memberi kesan negatif bukan sahaja kepada ekonomi negara itu tetapi turut menjejaskan ekonomi global dan negara-negara yang menumpukan kepada industri berteknologi tinggi, termasuk Malaysia.

Dalam konteks sejarah, perlu difahami penggunaan sekatan eksport terhadap nadir bumi ini bukanlah perkara baharu bagi China. 

Pada 2010 misalnya, sekatan ini juga dibuat kepada Jepun dalam usaha untuk mencari penyelesaian akibat daripada pertikaian maritim. 

Ia juga pernah dilaksanakan dengan negara-negara lain seperti Australia dan Estonia. Namun begitu, dari segi skala penggunaannya terhadap AS, yang berpunca daripada pengenaan tarif timbal balas kepada China yang begitu tinggi pada bulan April lepas mengejutkan dunia.

Semasa mesyuarat pemimpin Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Jinping mencadangkan agar satu badan global untuk mengawal selia kecerdasan buatan (AI) ditubuhkan. 

Selain daripada itu, negara anggota APEC juga bersetuju mengeluarkan deklarasi bersama, yang antaranya adalah berkait dengan perjanjian tentang AI. Dan China juga diumumkan sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak APEC tahun hadapan. 

Kesemua ini berkait dengan isu bekalan nadir bumi dan juga masa hadapan hubungan antara AS dengan China, terutamanya dalam aspek perdagangan seperti yang  dibincangkan. 

MANFAAT KEPADA MALAYSIA

Bagi Malaysia, pelbagai hasil positif diperoleh dari sudut perdagangan dan pelaburan daripada penyertaan dalam Sidang Kemuncak APEC pada kali ini. 

Misalnya, yang berkait dengan industri nadir bumi, pelaburan kemudahan pembuatan magnet berkuasa tinggi bernilai RM600 juta oleh JS Link, syarikat berpengkalan di Korea Selatan bersama dengan Lynas Malaysia di Pahang dimeterai. Ini akan membuka peluang kepada pengukuhan dalam industri hiliran nadir bumi negara.

Melalui pelaburan oleh JS Link, pusat pemprosesan bahan nadir bumi berteknologi tinggi, termasuk penghasilan super magnet akan ditubuhkan, satu bahan yang sangat diperlukan dalam kenderaan, barangan elektronik dan juga motor elektrik. 

Ini juga sejajar dengan dasar kerajaan Malaysia pada ketika ini untuk melarang eksport unsur nadir bumi secara mentah. 

Selain Korea Selatan, di dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-AS, dasar ini (melarang eksport nadir bumi secara mentah) juga kekal dan kerjasama strategik dengan AS dalam pembangunan industri nadir bumi ini juga dijangka akan dirancakkan di bawah ART.

Pembangunan industri nadir bumi, terutamanya dalam industri hiliran penting kepada ekonomi Malaysia menuju ke hadapan terutamanya dalam agenda kemampanan dan juga transformasi digital, selain agenda besar untuk melakar semula pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Malaysia telahpun meletakkan asas yang kukuh sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini dan mencapai pelbagai kejayaan seperti penerimaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN dan juga Perjanjian Damai KL antara Thailand dan Kemboja. 

Kita berharap agar APEC 2026, yang akan berlangsung di Shenzen tahun hadapan, akan membuka lembaran baharu kepada hubungan perdagangan AS-China ke arah yang lebih baik dan akan memberikan kesan limpahan yang positif kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi global umumnya dan negara kita khususnya.

 PROFESOR Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin ialah Felo Bersekutu Kanan, Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN